Terbuka Denmark: Beregu campuran negara jumpa pilihan utama di separuh akhir

21/10/2017 4:06pm


Soon Huat-Jemie Lai akan berdepan beregu China, Zheng Siwei/Chen Qingchen lewat malam ini.


KUALA LUMPUR - Pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengekalkan prestasi cemerlang mereka untuk mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Premier Siri Super Terbuka Denmark yang berlangsung di Odense, Denmark pada Jumaat (awal Sabtu waktu Malaysia).

Pasangan bukan pilihan itu yang diregukan pada Oktober tahun lepas, menyingkirkan pasangan tuan rumah Niclas Nohr/Sara Thygese dengan 23-21 dan 21-12 pada perlawanan suku akhir di Odense Sports Park, demikian menurut laman sesawang Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfworldsuperseries.com.

Goh-Lai bagaimanapun berdepan tugas getir kerana mereka akan menentang pilihan utama Zheng Siwei/Chen Qingchen pada separuh akhir lewat hari ini selepas pasangan China itu mengetepikan beregu Korea Selatan Seo Seung Jae/Kim Ha Na of South Korea 21-12 dan 21-15 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasangan itu pada musim ini ialah naib juara Grand Prix Emas Malaysia Masters di Sibu, Sarawak pada Januari dan Grand Prix Emas Terbuka Thailand pada Jun. - Bernama