Cobra anjur Kejohanan Ragbi 10 Sebelah

21/10/2017 4:34pm


Kejayaan skuad ragbi Malaysia memenangi emas di Sukan SEA 2017 mampu menjadi pencetus kepada kebangkitan arena sukan ragbi di negara ini. - Gambar fail


KUALA LUMPUR - Kejayaan Malaysia memenangi pingat emas dalam acara ragbi pada Sukan SEA Kuala Lumpur diharap mencetus peminat ragbi untuk menyaksikan Kejohanan 10 Sebelah Cobra.

Presiden Kelab Ragbi Cobra, Tommy Pereira yakin minat baharu bagi sukan itu akan memastikan penonton yang ramai bagi menyaksikan Kejohanan 10 Sebelah Cobra selama dua hari mulai 11 November ini di Stadium MBPJ di Kelana Jaya.

"Memenangi pingat emas Sukan SEA di hadapan penonton yang padat juga di Stadium MBPJ membuat peminat ragbi berbangga dan menarik minat pada sukan yang dirujuk sebagai 'permainan lelaki sejati' ini.

"Kejayaan pemain Malaysia yang dilatih Saizul Hafifi Mohd Noor telah meletak nama Malaysia dalam cahaya lampu neon dan menghidupkan minat peminat tempatan yang mahu menyaksikan pasukan atas beraksi.

"Pasukan wanita negara yang menggenggam pingat gangsa pada Sukan SEA KL merupakan satu lagi faktor yang menarik minat golongan muda dalam sukan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tepat pada masanya Malaysia terus membawa aksi ragbi kelas tinggi bagi peminat tempatan dan menjana minat pemain dan peminat muda bagi memastikan kejayaan berterusan negara.

Peminat ragbi Malaysia bukan sahaja dapat menyaksikan aksi kelas tinggi pada kejohanan 10 Sebelah Cobra bulan depan tetapi ia merupakan peluang kepada kalangan peminat ragbi untuk berkumpul semasa permainan golf dan majlis makan malam.

Kejohanan diadakan sempena ulang tahun ke-50 kelab Cobra yang akan disertai 16 pasukan tempatan dan luar negara bagi merebut trofi Dr Hui Weng Choon.

Pihak penganjur turut mengadakan Kejohanan Golf Cobra bagi pemain, pegawai dan penyokong pada 7 Nov di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) diikuti majlis makan malam di Kelab Cobra di Jalan Utara B, Petaling Jaya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi Pengerusi kejohanan Boon Hoon Chee di talian 012-2127000. - Bernama