Hampir 59,000 kg sampah dikutip dari sungai sekitar Lembah Klang

21/10/2017 4:40pm


Antara bahan buangan yang berjaya disekat oleh perangkap sampah di Sungai Klang. - Gambar fail


KUALA LUMPUR - Sebanyak 58,847 kilogram (kg) sampah telah dikutip dari sungai-sungai sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, ia dilakukan di bawah program pembersihan sungai melalui projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL).

"Melalui data yang dikumpulkan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), sampah yang dikutip pada 2015 ialah 59,316 kg bagi tempoh masa sama manakala pada 2016 peningkatan lebih sekali ganda iaitu 123,154 kg dicatatkan.

''Kerajaan amat memandang serius isu ini kerana bimbang dengan trend peningkatan sampah yang dikutip dari sungai setiap tahun," katanya pada perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan wakil beliau Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Datuk M Noor Azman bin Taib

Tengku Adnan berkata bagi mengatasi isu itu, program penguatkuasaan untuk mengawal aktiviti pembuangan sampah secara haram dan usaha meningkatkan program kesedaran awam perlu dipergiat. - Bernama