Bancian penduduk secara dalam talian akan dilaksana pada 2020

21/10/2017 4:57pm


Ketika ini petugas banci perlu bergerak dari rumah ke rumah untuk melakukan bancian. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Jabatan Perangkaan akan mula memperkenalkan sistem bancian penduduk dalam talian yang dikenali sebagai 'E-Census' pada tahun pelaksanaan program bancian iaitu pada 2020 selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, kata Ketua Perangkawannya, Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, jabatan itu menyasarkan kadar penggunaan sistem E-Census pada tahun tersebut sebanyak 30 ke 40 peratus daripada keseluruhan jumlah populasi rakyat Malaysia terutamanya penduduk di bandar.

"Sistem ini sesuai diaplikasikan memandangkan gaya hidup masyarakat masa kini yang kadang kala tidak ada di rumah ketika petugas banci melakukan bancian di rumah mereka," katanya.

"Bagaimanapun, proses bancian secara rumah ke rumah akan tetap diteruskan di kawasan tertentu terutamanya di bahagian luar bandar," katanya kepada Bernama selepas menamatkan larian beliau pada program Stats Asean Putrajaya, Run 2017, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, selain dapat menjimatkan kos tenaga manusia iaitu petugas banci tidak lagi perlu bergerak dari rumah ke rumah, sistem tersebut juga akan menghasilkan data yang lebih tepat.

Menurutnya, sebelum melaksanakan sistem E-Census tersebut Jabatan Perangkaan akan memperkenalkan aplikasi khas yang membolehkan para pengguna menyertai bancian tersebut dengan hanya menggunakan telefon pintar mereka.

"Bancian penduduk di Malaysia akan dilakukan sekali bagi setiap 10 tahun, dan Jabatan Perangkaan turut mendapatkan kadar kelahiran dan kematian penduduk daripada Jabatan Pendaftaran Negara pada setiap tahun," katanya,

Dalam pada itu, mengenai aplikasi MyLocal Stats yang baru diperkenalkan pada pertengahan tahun ini yang memberi maklumat dan data berkaitan setiap daerah di Malaysia, Mohd Uzir berkata jabatan itu akan menambah beberapa lagi maklumat berkaitan sistem tersebut.

"Buat masa ini aplikasi itu memberikan maklumat seperti jumlah industri dan syarikat, kadar kelahiran dan kematian, jumlah penduduk mengikut jantina dan umur di satu-satu daerah.

"Dalam masa terdekat jabatan akan memperkenalkan data berkaitan hal-hal pentabdiran daerah seperti jumlah sekolah, hospital dan juga akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis mengenai kadar kemalangan dan jumlah jenayah yang berlaku di kawasan tersebut," katanya. - Bernama