Dewan orang ramai di Bahau terbakar

21/10/2017 6:35pm


Asap memenuhi dewan orang ramai di Taman Desa Puteri yang terbakar petang tadi.


BAHAU - Sebuah dewan orang ramai di Taman Desa Puteri dekat sini, terbakar dalam satu kejadian kira-kira pukul 2.15 petang ini.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Shahruddin Hashim berkata, kebakaran dipercayai bermula di stor dewan tersebut.

"Kami menerima maklumat orang awam Dewan Orang Ramai Desa Puteri terbakar pada pukul 2.22 petang.

"Api sedang membakar bahagian dalam bangunan itu semasa kami sampai di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Shahruddin berkata, enam pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bahau bersama sebuah jentera terlibat dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran itu.

Kata beliau, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut.

Tambah beliau, siasatan awal pihaknya mendapati stor dewan orang ramai berkenaan menyimpan beberapa peralatan termasuk meja.

"Tiada kemalangan jiwa. Punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE