Hasrat ubati penyakit bapa jadi perangsang penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA

21/10/2017 6:38pm


Muhammad Fauzan (kanan) bersama Mohd Farid menunjukkan Anugerah Pelajaran Diraja masing-masing pada Majlis Konvokesyen UniSZA kali kesembilan di Kuala Nerus hari ini.


KUALA NERUS - Harapan untuk mengubati penyakit ayah yang menghidap masalah kegagalan buah pinggang telah mendorong Muhammad Fauzan Abdul Hamid bukan sahaja melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran malah cemerlang dalam pelajaran.

Kegigihan Muhammad Fauzan, 25, yang berasal dari Kuala Lumpur tidak sia-sia apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kesembilan di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun hasratnya untuk menyembuhkan penyakit ayahnya, Dr. Ahmad Hamid Saleh yang meninggal dunia Disember 2016 tidak kesampaian namun anugerah tersebut sekurang-kurangnya mampu mengubati kesedihannya kehilangan insan tersayang.

"Saya berazam menjadi doktor perubatan sejak Allahyarham ayah merupakan pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia disahkan menderita akibat masalah kegagalan buah pinggang kira-kira lima tahun lalu.

"Walaupun hajat untuk mengubati penyakitnya tidak kesampaian, saya berazam untuk terus menjadi pakar buah pinggang pada suatu hari nanti," katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja tersebut pada Konvokesyen UniSZA kesembilan di sini hari ini.

Selain beliau, Mohammad Farid Abdul Talib, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja itu yang disampaikan Canselor UniSZA, Sultan Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. - K! ONLINE