Operasi SAR mangsa tanah runtuh dihentikan pukul 7 malam tadi

21/10/2017 7:27pm


Pihak keselamatan menutup pintu masuk ke tapak projek perumahan yang menjadi lokasi kejadian tanah runtuh.


GEORGE TOWN - Operasi mencari dan menyelamat kira-kira 11 lagi mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik, Granito @ Permai, Tanjung Bungah di sini telah dihentikan pada pukul 7 malam tadi.

Pengarah Bomba Negeri, Saadon Moktar berkata, operasi terpaksa dihentikan berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap dan keselamatan pasukan.

"Kita akan menyambung semula operasi ini pada pukul 8 pagi esok dengan menggunakan peralatan khas termasuk eskavator.

"Setakat ini, kita telah mengalihkan 20 hingga 30 peratus tanah di kawasan kejadian berlaku dan kita percaya ramai mangsa yang tertimbus berada di bawah tanah zon c," katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Sehingga pukul 6 petang tadi, hanya 3 mangsa terdiri dua warga Bangladesh dan seorang Myanmar ditemui mati dalam timbunan tanah. -K! ONLINE