Dua penjenayah bersenjatakan pistol samun kedai emas

21/10/2017 10:08pm


Pasukan polis menjalankan siasatan ke atas kedai emas tersebut yang disamun dua lelaki bersenjatakan pistol petang tadi.


ALOR SETAR - Dua penjenayah bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM500,000 selepas bertindak menyamun sebuah kedai emas di Jalan Dewa, Sungai Petani dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.12 petang itu, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh meluru masuk ke dalam premis sebelum salah seorang daripadanya melompat masuk ke dalam kaunter pameran barang kemas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd. Hamid memberitahu, suspek kemudian mengacukan pistol ke arah salah seorang pekerja dan memaksanya membuka laci kaunter pameran dengan menggunakan kunci.

"Suspek kemudian mengaut empat dulang barang kemas dalam tempoh dua minit dan terus melarikan diri menggunakan motosikal jenis Honda EX5," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, barang kemas yang dilarikan dianggarkan bernilai antara RM400,000 hingga RM500,000.

"Semasa kejadian, hanya ada tiga pekerja yang sedang bekerja dan tiada pelanggan," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- K! ONLINE