Kedah mara ke pentas final Piala Malaysia

21/10/2017 11:04pm


Sandro muncul wira Kedah apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya menang 2-0 ke atas Felda United pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di sini, hari ini.


ALOR SETAR - Juara bertahan, Kedah berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman di sini sebentar tadi.

Skuad Helang Merah mara dengan agregat 3-1.

Kedah memulakan perlawanan dengan aksi bertenaga dan menguasai hampir keseluruhan permainan dalam aksi separuh masa pertama.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun gagal menghasilkan penyudah yang baik untuk menyumbang gol buat pasukan.

Memasuki babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan rentak permainan seimbang dengan melakukan serangan bertali arus untuk merebut jaringan buat pasukan.

Serangan demi serangan dilakukan, Kedah akhirnya berjaya menghasilkan gol pertama menerusi import, Sandro Da Silva pada minit ke-70 hasil hantaran cantik Muhammad Syafiq Ahmad.

Sandro muncul hero buat skuad apabila menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-85. - K! ONLINE