Strategi popularkan nasi maghoh ngaat

Nasi maghoh ngaat dijual pada harga RM5 sebungkus.


POPULARITI nasi maghoh ngaat (nasi marah sangat) yang dipopularkan oleh Aleesya Cafe menyebabkan hampir setiap hari, pelanggan tidak putus-putus mengunjungi kafe yang terletak di Taman Permai Jaya, Batu 2 ½, Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu itu. Selain penduduk setempat, ada yang datang dari jauh termasuklah Kuantan, Pahang semata-mata untuk menikmati kelazatan Nasi Maghoh Ngaat.

Pemilik Aleesya Cafe, Rishaal Ilyanna Mohd. Rawi, 37, berkata, strategi beliau menamakan menu utama kafenya yang dibuka sejak dua tahun lalu itu sebagai nasi maghoh ngaat membuahkan hasil.

Beliau berkata, maghoh ngaat dalam loghat Kelantan bermaksud marah sangat. Ia juga membawa pengertian pelanggan restorannya mahu mengulangi pembelian selepas pertama kali menikmati nasi tersebut.

Bungkus

“Kami menjual sekurang-kurangnya 300 bungkus nasi maghoh ngaat sepanjang kafe beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kafe tersebut baru-baru ini.


Rishaal Ilyanna menunjukkan nasi maghoh ngaat yang popular di Restoran Aleesya Cafe di Kemaman, Terengganu.


Rishaal Ilyanna yang berasal dari Peringat, Kota Bahru, Kelantan memberitahu, konsep menu tersebut sama seperti nasi dingin iaitu nasi putih berlauk ayam atau daging goreng bersama kuah gulai, hirisan timun, ikan kering dan sambal belacan.

Begitupun katanya, ia disesuaikan dengan selera penduduk tempatan, Kemaman yang lebih gemar menikmati nasi campur panas-panas.

“Sehubungan itu, kami sentiasa memastikan nasi putih, ayam dan daging goreng serta kuah gulai yang merupakan bahan asas nasi maghoh ngaat sentiasa panas sebelum dihidangkan kepada pelanggan.

“Selain itu, menu ini dibungkus menggunakan kertas minyak biarpun ia dinikmati di restoran. Ia bagi mengekalkan keaslian dan cita rasa terutamanya gulai yang memang lebih sedap jika menyerap ke dalam nasi,” katanya.


Rishaal Ilyanna (tiga dari kiri) bersama kakitangannya mengalu-alukan pelanggan ke Aleesya Cafe di Jalan Air Putih, Kemaman.


Rishaal Ilyanna berkata, rata-rata pelanggannya menyukai nasi maghoh ngaat kerana kerangupan ayam dan daging yang dimasak dengan resipi istimewa. Hidangan tersebut dijual pada harga RM5 sebungkus bersama teh O ais atau sirap ais yang diberi secara percuma.

“Kami juga menyediakan ikan bakar, sotong bakar, pajeri nanas, telur dadar dan telur masin, serta gulai kaki ayam sebagai pilihan lauk tambahan kepada pelanggan,” katanya.

Selain nasi maghoh ngaat, Aleesya Cafe turut menawarkan nasi kerabu, nasi lemak, hidangan ala Barat, makanan laut dan sajian ringan seperti roti bakar.

“Aleesya Cafe juga menyediakan ruang dengan pendingin hawa untuk keselesaan pelanggan terutamanya kepada mereka yang mahu mengadakan majlis-majlis keraian,” ujarnya.