Ambil segelas susu dalam sarapan


ASHLEE (dua dari kanan) dan selebriti, Sari Yanti (kanan) semasa pelancaran kempen sarapan pagi Dutch Lady di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menikmati menu sarapan seperti nasi lemak atau mi goreng sememangnya menjadi pilihan rakyat Malaysia namun ia perlu ditambah dengan segelas susu bagi membantu memenuhi keperluan tenaga dan nutrien harian.

Itulah antara yang dapat disimpulkan apabila jenama minuman susu, Dutch Lady PureFarm melancarkan kempen sarapan paginya baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Penyelidik Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Poh Bee Koon berkata, pasukannya telah menganalisis tujuh sarapan pagi yang popular untuk mengetahui sama ada ia membekalkan jumlah tenaga, protein, vitamin A, B2 dan D, serta kalsium untuk memenuhi 20 hingga 25 peratus daripada pengambilan tenaga dan nutrien yang disyorkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Menurut Bee Koon, tujuh jenis sarapan pagi paling biasa diambil oleh rakyat Malaysia yang dianalisis ialah nasi lemak, mi goreng, nasi goreng, roti canai, roti telur, sandwic sardin dan gabungan karipap serta dua jenis kuih.

“Analisis sarapan pagi paling biasa ini menunjukkan bahawa ia tidak dapat membekalkan nutrien penting yang cukup untuk memenuhi 20 hingga 25 peratus pengambilan nutrien harian yang disyorkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

“Bagi orang dewasa, hidangan sarapan ini tidak mengandungi tenaga, protein, vitamin D dan kalsium yang mencukupi yang penting untuk membantu mereka memulakan hari dengan baik. Bagi kanak-kanak pula, mereka kekurangan vitamin D dan kalsium, yang penting untuk perkembangan tulang dan keseluruhannya,” kata Bee Koon dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ashlee Ng menekankan kepentingan untuk setiap keluarga mendapatkan nutrien yang mencukupi daripada sarapan harian bagi membantu mereka memulakan hari dengan lebih bertenaga dan kuat.

“Sarapan merupakan hidangan paling penting dalam hari anda kerana ia merupakan makanan pertama kita selepas tempoh lapan hingga 12 jam daripada hidangan terakhir yang dimakan. Bekalan nutrien yang semakin kurang selepas 12 jam itu bermakna otak kita kekurangan tenaga apabila bangun pagi.

“Oleh itu, sarapan yang kita ambil perlu menyediakan nutrien penting yang cukup untuk membantu kita memenuhi pengambilan nutrien harian. Sarapan juga perlu membekalkan nutrien makro dan mikro yang seimbang, termasuklah karbohidrat, protein, vitamin dan mineral,” katanya.