Elemen fantasi adaptasi filem kartun

LUKISAN mural turut memenuhi bangunan luar hotel.


GEMERLAPAN sinaran lampu warna-warni di sekitar taman tema I-City lewat petang itu mengiringi perjalanan kru Jurnal ke Hotel De-Art I-City, sebuah hotel butik yang terletak di Jalan Keluli 7/110, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Disebabkan terlalu terpesona dengan kemeriahan kawasan sekeliling, kru Jurnal nyaris tersalah memasuki lorong untuk menuju ke hotel tersebut.

Ternyata, nama De-Art I-City yang diberikan pada hotel itu bersesuaian dengan tema dan dekorasi yang diterapkan pada keseluruhan ruang.

Ini kerana, lukisan mural yang memenuhi segenap dinding hotel berjaya menyuntik suasana berbeza kepada setiap pengunjung yang bertandang ke hotel tersebut.

Disebabkan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan jelingan mata kami tidak berhenti meliar di segenap ruang sebaik langkah kaki melepasi pintu utama hotel.

Selain kewujudan bar mini yang disuntik dengan konsep industri, meja penyambut tetamu yang diadaptasikan daripada salah satu babak di dalam filem fantasi The Hobbit juga sudah cukup membuatkan pengunjung tersenyum girang.

Tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa hotel tersebut berjaya membawa kami seolah-olah seperti berada di dalam dunia fantasi.

Lebih-lebih lagi apabila melihat lukisan mural pada dinding ruang lobi yang dipenuhi dengan lukisan bertemakan wonderland.


CADAR rona putih digunakan bagi mengelakkan ruang tampak sarat.


Keajaiban dunia fantasi

Sambil mengamati lukisan mural pada dinding bangunan, Pengurus Besar hotel tersebut, Mariani Muhamad memberi pe­nerangan ringkas mengenai De-Art I-City.

“Sebenarnya, hotel butik yang disuntik dengan elemen seni ini merupakan cawangan ketiga kami.

“Mungkin ramai yang me­ngetahui bahawa hotel ini telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu. Bagaimanapun, pada waktu itu kami bermula dengan sebuah hotel bajet berkonsepkan butik di Seksyen 7 sebelum membuka cawangan kedua di Seksyen 19.

“Melihatkan sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai, kami kemudian membuka cawangan ketiga iaitu De Art I-City yang terletak di kawasan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Walaupun masih mengekalkan elemen seni seperti cawangan-cawangan hotelnya yang lain, Mariani menjelaskan bahawa De Art I-City memilih tema ‘keajaiban dunia fantasi’ untuk diterapkan pada keseluruhan ruang.

Ternyata, konsep itu digunakan 100 peratus pada hotel tersebut apabila melihat lakaran lukisan pelbagai unsur kartun alam fantasi dilukis pada segenap penjuru bangunan.

Jika melihatkan lukisan tersebut, pasti ramai yang akan tertanya-tanya siapakah gerangan individu yang begitu berbakat mengubah ruang kosong kepada sebuah hotel tema butik berkonsepkan fantasi secara keseluruhan.

Menurut Mariani, kesemua lakaran yang terhias indah pada dinding hotel tersebut dilukis sendiri menggunakan tangan oleh sekumpulan pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor.

“Hotel tiga tingkat ini mempunyai 35 buah bilik yang mana setiap bilik mempunyai tema yang berbeza.


MEJA penyambut tamu yang diadaptasikan daripada filem The Hobbit.


Bilik studio

“Kesemua lukisan ini merupakan cetusan idea kumpulan pelajar-pelajar tersebut. Disebabkan itu, kami menamakan setiap tingkat di bilik hotel ini mengikut jurusan yang diambil oleh pelajar-pelajar itu.

“Sebagai contoh, tingkat satu hotel ini dikenali sebagai Fine Art yang merupakan salah satu kursus untuk para pelajar di UiTM. Ini merupakan salah satu tanda penghargaan kami buat kumpulan pelajar tersebut kerana berjaya melukis lukisan yang tampak hidup,” jelasnya.

Selain dekorasi hotel tersebut sangat unik, kesemua 35 buah bilik yang terdapat pada bangunan itu juga turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti hotel-hotel di dalam dan luar negara yang lain.

Antaranya ialah televisyen berskrin rata, alat pendingin hawa, bilik air yang dilengkapi dengan tab mandi dan juga kemudahan membuat kopi serta teh.

Bagaimanapun, jelas Mariani lagi, apa yang membuatkan hotel ini berbeza dengan hotel-hotel sedia ada di kawasan tersebut ialah ia turut dilengkapi dengan bilik jenis studio, suite dan soho.

“Ketiga-tiga jenis bilik ini di­letakkan di aras bawah bangunan yang mana setiap lukisan pada dinding bilik tersebut mendapat sentuhan pelukis mural profesio­nal mengikut tema yang ­tersendiri.

“Menariknya, kami memilih tema daripada adaptasi filem kartun popular seperti Super Mario, filem kanak-kanak Up, filem anime Jepun One Piece, The Hobbit dan Under The Sea. Malah, perabot-perabot yang digunakan juga bersesuaian dengan tema bilik tersebut.

“Bagi bilik-bilik ini, kami mempraktikkan konsep naik tangga yang mana ruang tamu dan tandas ditempatkan pada bahagian bawah bilik, manakala kamar beradu pula terletak di bahagian atas.

“Garapan idea ini pastinya akan memberi kelainan dan pe­ngalaman baharu kepada pengunjung,” jelasnya.

Pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman bermalam di hotel tersebut dengan harga se­rendah RM108 untuk satu malam.