Peperangan di Marawi berakhir

GAMBAR yang dirakam pada Khamis lalu menunjukkan pemandangan bandar Marawi termasuk bangunan masjid yang musnah teruk akibat peperangan antara tentera kerajaan dan kumpulan militan.- AP


BANDAR MARAWI – Filipina bersiap sedia untuk mengisytiharkan berakhirnya pertempuran di bandar ini yang terletak di selatan Filipina selepas hampir lima bulan ditawan oleh militan pro-Daesh.

Dipercayai pada masa kini, tinggal kira-kira 20 anggota militan di bandar itu termasuk lima pemimpin mereka ketika tiga batalion tentera mula berundur, kata komander pasukan, Leftenan Jeneral, Carlito Galvez.

“Kemungkinan esok (hari ini), kita boleh mengisytiharkan bandar ini telah bebas daripada kepungan pengganas sepenuhnya,” katanya.

Menurut Galvez, pasukan tentera telah menembak mati tiga anak lelaki Isnilon Hapilon yang merupakan ketua kumpulan Daesh di Asia Tenggara serta dua warga Malaysia termasuk Amin Baco yang menjadi orang tengah untuk memudahkan pergerakan militan asing di rantau ini.

“Kami tidak mengatakan bahawa misi kami telah dilaksanakan de­ngan sepenuhnya jika lima individu itu masih berada di sana,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada sebilangan militan yang cuba bertahan dalam keadaan serba kekurangan.

Seorang komander berpangkat jeneral yang enggan dikenali berkata, mereka sedang mencari seorang pemimpin militan yang amat dikenali.

Malah, pihak tentera turut bimbang mengenai anak lelaki Hapilon dan sejumlah pejuang asing yang dilihat berkemam­puan menggantikan pe­mimpin sekutu yang terbunuh pada minggu ini.

Hapilon dan Omarkha­yam Maute terbunuh dalam satu serangan pada Isnin lalu termasuk seorang pensyarah di sebuah universiti di Malaysia, Mahmud Ahmad yang berperanan mengumpulkan dana dari luar negara untuk merekrut anggota militan, namun mayatnya masih belum ditemui.

Kematian pemimpin pengganas itu dilihat mengekang usaha kumpulan Daesh mewujudkan kehadiran mereka di pulau Mindanao. – Reuters