Serangan bom di masjid, 59 terbunuh


BEBERAPA penduduk memeriksa keadaan masjid Imam Zaman yang dipenuhi darah di Kabul, Afghanistan semalam.- AFP


KABUL – Sebanyak 59 orang terbunuh apabila pengebom bunuh diri meletupkan diri dalam dua serangan ke atas masjid secara berasingan di sini kelmarin, kata beberapa pegawai.

Dalam serangan pertama di sebuah masjid Syiah di sini sekurang-kurangnya 39 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh, manakala 45 yang lain cedera apabila pengebom meletupkan perantinya ketika umat Islam menunaikan solat Maghrib.

“Pengebom meletupkan dirinya dalam kalangan jemaah yang berada di dalam masjid Imam Zaman di kejiranan Dasht-e-Barchi,” kata jurucakap polis, Abdul Basir Mujahid.

“Saya berada di dalam bilik mandi masjid ketika berlaku satu letupan kuat. Saya kemudian segera ke dalam masjid dan melihat orang ramai berlumuran dengan darah,” kata seorang saksi kejadian, Hussain Ali.

Polis berkata, seorang lelaki bersenjata kemudian memasuki pekarangan masjid lalu melepaskan tembakan secara rambang ke arah sejumlah jemaah yang lain.

Dalam serangan kedua, seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di sebuah masjid Sunnah di tengah wilayah Ghor menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 10 orang cedera. – AFP