Bayi gergasi berat 30kg


BERAT badan berlebihan menyebabkan Manuel sukar tidur dan bernafas.- AGENSI


BANDAR RAYA MEXICO – Seorang bayi lelaki yang baru berusia 10 bulan dipercayai paling gemuk di dunia apabila berat badannya kini mencecah 30 kilogram (kg) iaitu menyamai berat kanak-kanak sembilan tahun.

Luis Manuel yang berasal dari Tecoman, negeri Colima dekat sini dilahirkan dengan berat 3.5kg, namun malangnya, dia bertambah gemuk apabila berusia satu bulan.

“Hanya dalam sebulan, kami menyedari baju-baju yang dibeli semakin tidak muat menyebabkan kami terpaksa membeli pakaian kanak-kanak berusia dua tahun.

“Berat badannya selepas itu me­ningkat secara mendadak sehingga menyebabkan dia tidak boleh tidur kerana sukar bernafas,” kata ibunya, Isabel Pantoja.

Manuel telah menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan tetapi punca masalah itu masih tidak diketahui sebaliknya pasukan doktor percaya bahawa dia berkemungkinan menderita sindrom Prader-Willi.

Sindrom berkenaan merupakan sejenis pe­nyakit yang tidak boleh diubati sebaliknya boleh mencetuskan serangan jantung akibat berat badan berlebihan.

Sehubungan itu, ibu bapanya yang miskin kini terpaksa meminta bantuan daripada orang ramai untuk mengumpul dana bagi membolehkan mereka membiayai rawatan anaknya menurunkan berat badan. – Agensi