Tidur berterusan sehingga 11 hari

WYATT terpaksa menjalani pelbagai ujian kesihatan semasa sedang tidur untuk mengesan penyakitnya.


MALAM itu, sebaik sahaja selesai menghadiri majlis perkahwinan bapa saudaranya, Wyatt Shaw, 7, terus menuju ke bilik tidur dan mula berbaring. Tidak berapa lama kemudian, kanak-kanak berambut perang itu tertidur kepenatan.

Keesokan harinya, ibu kepada kanak-kanak itu, Amy Shaw kemudian mengejutkan anaknya. Wyatt bagaimanapun cukup sukar untuk bangun dan masih terus tidur sehingga membimbangkan ibunya.

Beberapa minit kemudian, Wyatt terjaga, namun tidak lama selepas itu dia kembali tertidur.

Keadaan aneh itu menyebabkan Amy membawa anaknya yang masih tidur itu untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Kanak-Kanak Norton, Louisville, Amerika Syarikat pada hari yang sama.

Negatif

Wyatt kemudian menjalani ujian epilepsi, pemeriksaan air tulang belakang serta imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mengesan punca dia tidak bangun daripada tidur.

Sebelas hari kemudian iaitu pada 12 Oktober yang lalu, Wyatt akhirnya terjaga daripada tidur, namun mengalami masalah untuk menelan makanan dan dia juga sukar berjalan serta bercakap. Doktor bagaimanapun masih gagal mengenal pasti punca mengapa kanak-kanak itu tertidur sebegitu lama.

Dia kemudian diminta untuk menjalani ujian bakteria, virus dan penyakit berjangkit, namun kesemua ujian tersebut menunjukkan keputusan negatif.

Menurut Amy, Wyatt juga menjalani pemeriksaan pada bahagian otak bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang jangkitan atau keradangan.

“Anak saya juga menjalani ujian encefalitis iaitu virus pada otak yang boleh menyebabkan rasa penat melampau.

“Begitu pun, doktor mendapati anak saya bebas daripada virus tersebut, menjadikan kami semua bertambah bingung,” ujar Amy.

Menurut nenek Wyatt, Rhonda Thompson, cucunya itu sihat dan tidak menunjukkan kelakuan aneh sebelum tertidur selama 11 hari.

“Semasa majlis perkahwinan bapa saudaranya, Wyatt menari dengan gembira sepanjang malam dan bergelak ketawa bersama ahli keluarga yang lain.

“Apabila dia mahu tidur, saya menyangka bahawa ia hanyalah kerana dia telah penat dan mahu berehat,” ujarnya seperti dipetik laporan Mail Online.

Selepas doktor di Hospital Kanak-Kanak Norton, Louisville, gagal mengesan punca Wyatt tidur selama 11 hari, mereka bekerjasama dengan Klinik Mayo di Minnesota, Amerika Syarikat dan seorang doktor pakar di London, England untuk lebih memahami keadaan Wyatt.


KETIKA ini, penyakit Wyatt tiada penawar dan doktor juga bingung apa yang menyebabkan kanak-kanak itu tidur sehingga 11 hari.


Tiada penawar

Mereka kemudian mendapati Wyatt menunjukkan sindrom Kleine-Levin (KLS) yang menyebabkan penghidapnya mampu untuk tidur dalam tempoh 12 hingga 24 jam lamanya dan hanya bangun untuk membuang air kecil atau besar.

KLS berlaku apabila terdapat gangguan pada hipotalamus dan thalamus dalam kalangan penghidapnya semasa mereka sedang mengatur pola tidur.

Hipotalamus terletak di bahagian otak yang bertindak mengawal waktu tidur seseorang individu.

Ketika seseorang itu bangun tidur, ia berlaku kerana otak sedang berhubung dengan hipotalamus dan proses itu menyebabkan kita terjaga daripada tidur.

Begitu pun, keadaan itu cukup aneh dan buat masa ini, tiada rawatan khusus yang mampu mengelak penghidapnya daripada tidur dalam satu tempoh yang lama.

Buat masa ini, doktor cuma berharap agar keadaan itu tidak berulang kerana ia boleh menjejaskan kesihatan Wyatt.