Lelaki berpoligami terdedah masalah jantung


LELAKI yang berpoligami mempunyai tanggungjawab yang besar dan lebih mudah rasa terbeban. – Gambar hiasan


LELAKI yang mahu berkahwin lebih daripada seorang mungkin terlihat bahagia, namun satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh seorang pakar jantung daripada Hospital King Faisal, Jeddah, Arab Saudi mendapati, ia sebenarnya mendedahkan lelaki terhadap penyakit jantung.

Menurut kajian tersebut, lelaki yang berpoligami, empat kali ganda lebih terdedah terhadap penyakit jantung berbanding lelaki yang tidak mengamalkan poligami.

Dr. Amin Daoulah berkata, hal itu kerana individu yang berpoligami lebih terdedah dengan banyak masalah dan emosi mereka lebih mudah terganggu.

“Lelaki yang berpoligami mempunyai ahli keluarga yang lebih ramai dan beban mereka bertambah. Keadaan itu akan menyebabkan mereka lebih mudah berasa tertekan dan ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap jantung,” katanya.

Begitu pun, beliau menambah, masalah jantung bukanlah berpunca sepenuhnya daripada tekanan. Ia juga disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti kurang rehat serta pola pemakanan yang tidak teratur.