LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.


SUARA jeritan yang agak kuat jelas kedengaran dari dalam sebuah bilik di LOST in KL - Reality Escape Room, Subang Jaya, Selangor pada petang itu.

Kru Jurnal yang ketika itu sedang mendengar penerangan yang diberikan oleh Song Chen, 24, tentang permainan interaktif lolos diri yang ditawarkan di situ berasa sedikit terganggu, namun masih cuba untuk terus fokus bagi memahami corak serta bentuk permainan di LOST in KL.

Sejujurnya, selepas mendengar jeritan serta melihat dekorasi pada bahagian lobi yang agak menyeramkan, jantung kru Jurnal berdegup kencang kerana tidak tahu apakah cabaran serta ‘gangguan’ yang perlu ditempuhi sebaik sahaja bersetuju untuk bermain permainan itu.

Deretan foto-foto lama berwarna hitam dan putih serta hiasan dinding dengan motif tengkorak pada ruang menunggu di situ ternyata berjaya mencetus perasaan seram tatkala memasuki premis yang terletak di SS15 itu.

LOST in KL merupakan permainan lolos diri sama seperti Escape Room yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.

Menariknya, LOST in KL menawarkan cabaran berbeza apabila menambah elemen seram dan hantu pada permainannya, menjadikan ia sebagai tarikan terbaharu bagi individu yang gemarkan aktiviti riadah bagi menguji kehebatan minda dan adrenalin peserta.

“Sebelum memulakan permainan interaktif lolos diri ini, peserta perlu memilih satu daripada enam tema seram yang ditawarkan.

“Antara bilik yang ada termasuklah karakter hantu popular Annabelle, rumah terbiar, hantu Cina, zombi dan roh yang tidak tenteram.

“Setiap bilik menawarkan tema dan tahap kesukaran yang berbeza, manakala masa yang diberikan untuk melengkapkan cabaran adalah selama satu jam,” jelas Song Chen.

Tahap kesukaran

Selesai memilih tema Annabelle yang merupakan tema dengan tahap kesukaran paling tinggi, Song Chen kemudian menghulurkan sebuah telefon bimbit yang boleh digunakan untuk membuat panggilan kecemasan atau meminta pertolongan.

“Permainan bermula sebaik sahaja muzik dimainkan,” ujar Song Chen sebelum mengunci kru Jurnal bersama rakan-rakan lain dalam sebuah bilik kecil.

Dengan bantuan pencahayaan malap, semua peserta bertungkus lumus untuk mencari petunjuk bagi membolehkan mereka membuka pintu bilik seterusnya menamatkan cabaran dalam tempoh masa yang diberi.

Alunan muzik seram juga dimainkan sepanjang tempoh permainan bagi menyuntik elemen seram kepada peserta.

Biarpun bilik itu dipasang pendingin hawa, peluh tetap juga menitis di dahi memandangkan masing-masing sedang cuba untuk mencari petunjuk yang boleh digunakan bagi meloloskan diri.

Berkongsi pengalamannya, seorang peserta, Caroll Ong, 21, LOST in KL menawarkan sesuatu yang berbeza.


DEKORASI dalam bilik bertema Annabelle yang ditawarkan di permainan lolos diri Lost in KL.


Jantung berdegup

“Saya sememangnya seorang yang agak penakut, namun saya bersetuju untuk bermain permainan ini selepas diajak oleh beberapa orang rakan.

“Ia sememangnya amat menakutkan dan saya menjerit sekuat hati apabila bilik tiba-tiba menjadi gelap dan bergegar,” ujar gadis berkaca mata itu.

Rakan Carroll, Muhammad Nur Hafidz Azmi, 26, pula memberitahu, selain menakutkan, proses mencari petunjuk untuk keluar daripada bilik dengan selamat juga agak sukar kerana peserta perlu menggunakan logik dan kebijaksanaan.

“Memandangkan kami memilih tema dengan tahap kesukaran paling tinggi, cabaran yang perlu dilalui memang agak sukar.

“Mujur kami diberikan telefon bimbit yang boleh digunakan untuk menghubungi staf bagi mendapatkan pertolongan.

“Staf di LOST in KL juga amat membantu dengan memberikan penjelasan yang jelas bagi membolehkan kami mencari petunjuk seterusnya,” ujarnya.

Muhammad Nur Hafidz menambah, permainan lolos diri dengan tema hantu itu benar-benar menguji kebijaksanaan serta mencabar adrenalinnya.

Hal ini kerana selepas berjaya menamatkan permainan, dia berasa amat penat seolah-olah baru selesai melakukan aktiviti sukan.

“Sejujurnya, ia benar-benar mencabar adrenalin kami kerana selepas keluar daripada LOST in KL, jantung kami berdegup dengan amat kencang, seperti baru selesai menamatkan larian pula,” ujarnya berseloroh.

LOST in KL membuka pintunya kepada pengunjung pada Februari yang lalu.

Menurut Song Chen, ia merupakan permainan lolos diri dengan tema menyeramkan yang pertama seumpamanya di Malaysia.


KARAKTER hantu Valak yang dikatakan turut boleh dilihat dalam salah satu bilik di Lost in KL.


Kelonggaran

“Permainan ini direka dengan pendekatan unik apabila menawarkan jalan cerita dan dekorasi bilik yang benar-benar menepati tema yang dikehendaki supaya rasa seram itu sampai kepada pengunjung.

“Laluan bagi meloloskan diri juga benar-benar mencabar kebolehan peserta dan pengalaman ini adalah sesuatu yang tidak boleh dirasai di tempat lain,” jelasnya.

Biarpun mendapat komen serta respons positif daripada pengunjung, namun ramai juga peserta yang takut sehingga enggan meneruskan permainan.

“Ada juga peserta yang mengadu ia terlalu menakutkan dan berputus asa dari­pada terus bermain. Biasanya, kami mahu pengunjung menghabiskan permainan mereka.

“Begitu pun, sekiranya pengunjung berasa terlalu tertekan atau takut yang mungkin boleh memudaratkan keadaannya, dia akan dibawa keluar dan diberi pengecualian daripada menghabiskan permainan.

“Namun, setakat ini, perkara tersebut masih belum pernah lagi berlaku di sini,” cerita Song Chen panjang lebar.

Bagi mendapatkan efek serta dekorasi yang menepati tema, ia menelan belanja sekitar RM500,000.

Penggunaan sistem bunyi dan semburan asap yang digunakan ternyata berjaya menaikkan bulu roma pengunjung yang datang ke LOST in KL.