Tragedi letupan paip minyak Nigeria


DUA anggota keselamatan berusaha memadamkan kebakaran selepas saluran paip minyak meletup di Jesse, Nigeria pada 18 Oktober 1998.


TANGGAL 18 Oktober 1998 menyaksikan satu kejadian ngeri berlaku di Jesse, 290 kilometer (km) dari tenggara Lagos, Nigeria yang meragut ratusan nyawa dalam satu tragedi letupan saluran paip minyak.

Dalam peristiwa itu, seramai 1,082 orang dilaporkan terbunuh apabila saluran paip minyak yang diuruskan beberapa syarikat multinasio­nal dengan kerjasama kerajaan Nigeria di pantai barat Afrika meletup.

Sebenarnya, saluran paip minyak tersebut merentasi kampung-kampung yang rata-ratanya dihuni berjuta-juta penduduk yang hidup dalam kemiskinan.

Salah satu saluran paip itu di­salurkan merentasi bandar Jesse, di mana ia menjadi perkara biasa bagi penduduk di bandar tersebut mencuri minyak daripada saluran paip tersebut untuk dijual di pasaran gelap.

Sebelum insiden letupan itu berlaku, sebuah helikopter telah diarahkan untuk membuat tinjauan selepas mendapati terdapat sekumpulan individu sedang mencuri mi­nyak melalui saluran paip tersebut.

Sejurus helikopter itu tiba, satu letupan kuat disertai dengan ledakan bebola api setinggi 30 meter menjulang ke udara berlaku.

Akibat daripada letupan itu, lebih daripada 100 orang yang berada di tempat kejadian rentung serta-merta, manakala beratus-ratus yang lain mati ekoran kecederaan teruk disebabkan melecur.


BERATUS-RATUS mangsa mati di tempat kejadian semasa letupan saluran paip minyak di Jesse, Nigeria.


Buih nitrogen

Api yang marak dalam kebakaran itu dikatakan terlalu panas dan pantas sehingga pekerja penyelamat tidak dapat mendekati lokasi keja­dian selama enam hari.

Sementara itu, mangsa yang terselamat berada dalam keadaan cedera parah akibat melecur, namun mereka enggan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang akan ditangkap atas tuduhan mencuri dan menyebabkan kebakaran.

Sepasukan anggota bantuan dari Houston, Texas, Amerika Syarikat akhirnya tiba lima hari kemudian untuk membantu memadamkan kebakaran dengan menggunakan buih nitrogen dan meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar saluran paip minyak tersebut untuk menyiasat punca kejadian.


SEBANYAK 300 mangsa dikebumikan dalam satu kubur besar kerana identiti mereka sukar dikenal pasti.


Puntung rokok

Semasa proses siasatan, pihak kerajaan Nigeria menyatakan bahawa letupan itu berlaku adalah di­sebabkan oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja memecahkan saluran paip tersebut dan menyalakan api.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut dibantah apabila siasatan menyatakan punca utama kejadian itu adalah kerana sistem penyelenggaraan yang lemah dan pengabaian ciri-ciri keselamatan seperti me­rokok di lokasi kejadian.

“Peristiwa kebakaran itu ibarat satu kejadian pembunuhan beramai-ramai dengan keadaan mayat bergelimpangan,” ujar seorang anggota penyelamat.

Jumlah kematian dilaporkan te­rus meningkat di hospital meskipun selepas seminggu kejadian letupan itu berlaku dengan beratus-ratus mangsa tercedera melarikan diri kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa atas tuduhan menyebabkan kebakaran.

Jumlah mangsa yang terkorban dalam bahana letupan itu ialah seramai 1,082 orang sekali gus mencatat sejarah sebagai kemalangan paling buruk di Nigeria.

Ekoran banyak mayat yang ditemui sukar untuk dikenal pasti identitinya, satu upacara pengebumian beramai-ramai telah dilakukan dengan sejumlah 300 mayat ditanam dalam satu kubur besar.

Saluran paip yang pecah itu dimiliki oleh Perbadanan Petroleum Nigeria yang beribu pejabat di Delta Niger dan ia menyalurkan minyak dari Kaduna ke Warri yang terletak kira-kira 340km dari tenggara Lagos.

Presiden Nigeria pada ketika itu, Abdulsalami Abubakar berjanji untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat dan mencari penyelesaian dengan meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan tragedi serupa tidak berulang lagi.