Bot pendatang karam di Lampedusa


ANTARA pelarian yang terselamat dibawa anggota keselamatan ke kem penempatan pelarian sementara.


Kejadian pada tanggal 4 Oktober 2013 itu memeranjatkan penduduk di Pulau Lampedusa apabila menemui beratus-ratus mayat bergelimpangan akibat lemas.

Segalanya terungkai apabila didapati mayat-mayat tersebut sebenarnya adalah pelarian yang terkorban selepas bot yang mereka naiki karam ketika mahu menyeludup masuk ke Itali.

Dalam kejadian tersebut, sebuah bot yang berukuran 20 meter panjang bersama 500 orang pelarian dari Libya, Somalia dan Eritrea itu ka­ram selepas dikatakan terbakar.

Menurut laporan pihak berkuasa, bot yang membawa muatan ratusan pelarian itu terbakar selepas mereka bertindak membakar kain selimut untuk menarik perhatian sindiket yang me­nunggu di Pulau Lampedusa.

Tenggelam

Bagaimanapun, berlaku kebakaran di dalam kapal yang sesak itu sehingga menimbulkan suasana panik dan memaksa beratus-ratus penum­pang yang berada di atas kapal terjun ke dalam laut bagi menyelamatkan diri.

“Kebanyakan mangsa lemas kerana tidak pandai berenang,” kata Sharanna Buonocorso, salah seorang penyelamat yang pertama sampai di tempat kejadian.

Buonocorso merupakan seorang daripada sekumpulan pelancong yang sedang tidur di sebuah kapal layar yang berlabuh di luar pantai Lampedusa sebelum menyedari peristiwa tersebut.

Kumpulan pelancong itu kemudiannya telah membawa naik mangsa pertama iaitu seorang wanita muda yang disangkakan telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, wanita dari Eritrea yang dikenali sebagai Kebrat itu tiba-tiba tersedar dan memuntahkan air laut sambil tercungap-cu­ngap seperti sesak nafas.

19,000 pelarian

Dalam satu temu bual bersama akhbar La Repubblica, Kebrat menceritakan keadaan di atas bot pada masa itu sungguh kelam-kabut apabila api marak dengan cepat.

“Kami mula menjerit sebelum melompat ke dalam laut dan cuba berenang dengan menggunakan tenaga yang ada,” ujarnya.

Dalam tragedi itu, pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan seramai 155 orang pelarian, manakala 111 mayat ditemui terapung dan terdampar di pesisir pantai beberapa hari selepas kejadian.

Dianggarkan lebih 250 orang yang lain pula dikatakan hilang dan diisytiharkan telah me­ninggal dunia.

Pulau Lampedusa sememangnya menjadi antara sasaran puluhan ribu pelarian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dianggarkan, sekurang-kurangnya 19,000 pelarian dilaporkan mati sejak 20 tahun lalu dalam usaha melintasi Laut Mediterranean de­ngan menaiki bot-bot usang.