Jual nasi kerabu guna mata wang digital


GERAI milik Safiin dan isteri menerima pembayaran wang secara digital iaitu Bitcoin.


GERAI menjual nasi kerabu milik pasangan suami isteri, Safiin Mohamed, 65, dan Azizah Derahman, 60, yang terletak di Kampung Pauh, Kota Bharu, Kelantan lewat tengah hari itu kelihatan sibuk seperti hari-hari biasa.

Sejak ia dibuka pada pukul 6 pagi, gerai tersebut tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai yang ingin menikmati keenakan masakan isterinya.

Biarpun hampir tidak menang tangan melayan karenah pelanggan, namun senyuman manis tetap diukir pada wajah masing-masing.

Secara luaran, gerai NK Jijah yang terletak di Kampung Pauh, Kota Bharu, Kelantan itu mungkin nampak seperti sebuah gerai biasa.

Bagaimanapun, siapa sangka, di sebalik imej kampung gerai tersebut, Safiin menawarkan pembayaran tanpa tunai seperti yang telah dilakukan di beberapa buah negara termasuk China, India dan Singapura.

Sistem itu sekali gus menyambut kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin yang menyasarkan negara bakal menuju ke arah cashless sosiety menjelang tahun 2050.

Mata wang digital

Ternyata, faktor usia bukanlah penghalang bagi Safiin dan isteri untuk mengikut trend terkini. Percaya atau tidak, pasangan ini menjadikan Google untuk mempelajari sistem pembayaran menggunakan mata wang digital Bitcoin dengan lebih mendalam.

Bagi Safiin, dia percaya bahawa pentingnya mengikut trend masa hadapan bagi mengelakkan dirinya ditinggalkan jauh di belakang.

“Kami telah menjalankan perniagaan menjual nasi kerabu dan nasi berlauk sejak enam tahun yang lalu.

“Dahulu, perniagaan ini dijalankan secara tunai seperti peniaga-peniaga lain. Bagaimanapun, sejak dua bulan lalu, saya mula memper­kenalkan sistem pembayaran tanpa tunai iaitu dengan menggunakan mata wang digital Bitcoin.

“Walaupun ia baru sahaja diper­kenalkan, namun Bitcoin tetap mendapat sambutan daripada pe­langgan di kawasan sekitar. Malah, melalui pembayaran tanpa tunai, pelanggan kini mempunyai pilihan lain untuk mendapatkan hidangan nasi kerabu yang dijual,” jelasnya.

Selain memudahkan urusan jual beli, Safiin menjelaskan, orang ramai kini tidak lagi khuatir risiko dirompak dengan menggunakan Bitcoin.

Ini kerana, mereka tidak perlu membawa wang untuk membuat pembayaran. Sebaliknya, ia boleh dilakukan dengan hanya menggunakan telefon pintar masing-masing.

“Mungkin ramai yang tidak dapat membayangkan bagaimana urusan ini berlaku.

“Cara pembayaran adalah sangat mudah kerana individu hanya perlu mengimbas kod QR daripada peranti mudah alih untuk membuat pembayaran. Jadi, konsep yang dipraktikkan ialah beli, imbas dan bawa pulang,” jelasnya.

Ujar Safiin, biarpun Bitcoin masih kurang mendapat sambutan daripada orang ramai, namun dia percaya sistem tersebut akan menjadi medium pembelian pada masa hadapan.

Tambahan pula apabila melihatkan nilai mata wang digital itu yang kini sedang meningkat dengan begitu cepat.


NASI kerabu kambing bakar merupakan antara hidangan yang menjadi tarikan utama gerai Safiin.


Sistem barter

Ujar Safiin lagi, satu Bitcoin kini dikatakan bernilai RM18,701 berbanding harga RM23 empat tahun yang lalu.

“Ramai yang masih belum didedahkan dengan pembelian tanpa tunai menggunakan Bitcoin.

“Walaupun mereka hanya perlu membayar 0.00025 nilai di Bitcoin untuk sebungkus nasi kerabu bernilai RM5, namun kebanyakan individu lebih gemar membayarnya secara tunai.

“Perkara tersebut berlaku mungkin kerana mereka sudah terbiasa dengan cara tersebut,” jelasnya.

Tambah Safiin lagi, biarpun gerainya mengikuti trend semasa dengan mengambil transaksi pembelian menggunakan mata wang digital, namun dia dan isteri turut memperkenalkan pembelian menggunakan sistem barter.

Cerita lelaki ini lagi, konsep tersebut sengaja dipraktikkan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.