Buka sekolah bantu kanak-kanak buta huruf


SEHINGGA kini, Parmar berjaya mendidik lebih 155 orang kanak-kanak.


“SAYA buka sekolah ini kira-kira 17 tahun yang lalu selepas menyedari kebanyakan pelajar walaupun yang pergi ke sekolah tidak tahu membaca.

“Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif sendiri dengan menubuhkan sebuah sekolah kebajikan untuk mengajar mereka mengenali abjad dan seterusnya membaca,” jelas Kamal Parmar.

Lantas dengan itu, Parmar yang berusia 60 tahun mula membuka sebuah sekolah yang dikenali sebagai Foothpath di Ahmedabad, Gujarat, India pada tahun 2000.

Selain membantu kanak-kanak mahir membaca dan menulis, Parmar juga menjalankan kelas latihan khas ketika anak-anak malang itu ingin menduduki peperiksaan di sekolah.

“Sebenarnya, saya terinspirasi untuk mengelolakan sebuah sekolah buat kanak-kanak tersebut selepas melihat sendiri kelemahan pelajar di kawasan sekitar.

“Kebetulan ketika kejadian tersebut berlaku, saya berada di luar bengkel. Pada waktu itu, saya lihat sekumpulan pelajar baru pulang daripada menjalani ujian penca­paian di sekolah.

“Kesemua mereka merungut dan mengatakan bahawa ujian tersebut adalah terlalu susah sehingga mereka tidak dapat menjawab dengan baik. Saya kemudian bertanya salah seorang daripada mereka mengenai soalan tersebut sebelum menyuruhnya membaca beberapa soalan.

“Apa yang memeranjatkan saya pada waktu itu ialah apabila dibe­ritahu mereka tidak tahu membaca. Bukan satu atau dua pelajar, tetapi hampir kesemuanya,” jelas Parmar.

400 kanak-kanak

Pengakuan yang dibuat oleh kanak-kanak malang itu meninggalkan kesan yang mendalam buat Parmar. Bermula dari saat itu, dia mula menjalankan misi menjejak pelajar-pelajar buta huruf untuk dididik.

Jelas Parmar, dia kemudian mengumpulkan seramai 400 orang kanak-kanak di Ahmedabad dan mengesan setiap kelemahan mereka. Alangkah terperanjatnya Parmar apabila mendapati hanya lima kanak-kanak sahaja yang tahu membaca.

“Keesokan harinya, saya mula melakukan sesi pembelajaran bersama mereka. Sayangnya, daripada ratusan kanak-kanak yang ditemui, hanya sepuluh orang sahaja yang berminat untuk belajar.

“Saya mengubah suai sebuah bilik kosong di bengkel membuat logam milik keluarga untuk dijadikan kelas.

“Di sana, saya akan mengajar kanak-kanak tersebut selama dua jam setiap hari sehingga mereka mampu membaca dengan betul,” jelasnya.

Cerita Parmar, biarpun pada mulanya dia hanya menerima 10 pelajar sahaja, bagaimanapun, beberapa bulan yang lalu, angkat tersebut dikatakan bertambah.

“Saya menarik perhatian mereka untuk belajar dengan menyediakan pelbagai makanan lazat.

“Itu merupakan satu-satunya strategi yang boleh saya lakukan untuk menarik mereka belajar. Selepas kelas tamat, kami akan makan bersama-sama,” jelasnya.

Menurut Parmar, sepanjang 17 tahun yang lalu, dia telah mengajar lebih 155 kanak-kanak.


SELAIN belajar, kanak-kanak ini turut disajikan dengan aneka hidangan lazat setiap hari.


Sukarelawan

Apa yang membanggakan lelaki tua ini ialah kebanyakan kanak-kanak tersebut berjaya melanjutkan pengajian ke kolej dan mendapat pekerjaan yang menarik.

“Salah seorang pelajar perem­puan saya baru-baru ini dilantik sebagai seorang pengurus di sebuah bank di Ahmedabad. Ada juga antara mereka yang menjadi jurutera komputer.

“Bagi saya, ini merupakan satu kejayaan yang perlu dibanggakan. Bayangkan, mereka yang tidak tahu membaca dan menulis kini mampu menjawat jawatan hebat di beberapa buah institusi,” jelasnya.

Tambah Parmar lagi, walaupun tidak dibayar dengan sebarang wang, namun dia bersyukur kerana usaha tersebut membuahkan hasil.

“Saya bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang begitu menyokong apa yang saya lakukan.

“Malah, dua orang adik lelaki saya dengan sukarela menawarkan diri untuk menguruskan bengkel logam yang diusahakan sementara saya fokus pada sekolah Foothpath,” jelasnya.