Dua pemuda dituduh sertai Geng 35 Sungai Petani

22/10/2017 12:55pm


Jagan (kiri) dan Ramachandran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas tuduhan menjadi ahli Geng 35 Sungai Petani.


SUNGAI PETANI - Dua pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 35 Sungai Petani dari 1 Januari 2015 hingga 27 September lalu.

Kedua-dua tertuduh, S. Jagan, 23, dan S. Ramachandran, 26, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang merupakan bekas pengawal keselamatan.

Mengikut kertas pertuduhan, Jagan dan Ramachandran dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah Geng 35 Sungai Petani dalam daerah Kuala Muda masing-masing antara 1 Januari 2015 hingga 27 September 2017 dan antara 1 Januari 2015 hingga 26 September 2017.

Pertuduhan dilakukan mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh. - K! ONLINE