Idayu juara AF Megastar

23/10/2017 12:04am


Selaku juara, Idayu membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.


SHAH ALAM - Menepati ramalan ramai, bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Idayu dinobatkan sebagai juara AF Megastar yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam malam tadi.

Kemenangan tersebut sekaligus membolehkan Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob, 32, membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.

Idayu turut menerima pakej percutian 10 hari tujuh malam ke Turki.

Idayu menyanyikan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey selain single terbaharu berjudul Selamanya ciptaan Amylea Azizan.

Marsha sekali lagi dipilih sebagai penerima Anugerah Terlajak Laris DíHerbs dan membawa wang tunai sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, tiada tempat kedua atau ketiga disediakan untuk para peserta.

Peringkat akhir itu menyaksikan kesemua lima peserta akhir perlu mendendangkan sebuah lagu pilihan sendiri dan single terbaharu mereka.

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Syafinaz Selamat dan Datuk Azhar Othman atau Awie.

Juri profesional mewakili 60 peratus markah manakala selebihnya undian peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dalam pada itu, program Akademi Fantasia mencatat sejarah apabila ia diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai 'Rancangan Nyanyian Realiti Televisyen Paling Lama Berlansung' iaitu selama 14 tahun.

Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Pengasas Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi kepada Pengurus Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad. - K! ONLINE