Pernah guna kaedah jualan bonet kereta

Nur SYAZWANI (kiri) melayan dua pelanggan yang berkunjung ke butiknya.


PERTEMUAN yang diatur pada pagi Isnin lalu itu berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah.

Apatah lagi, lokasi butik Qayra Couture milik seorang anak muda, Nur Syazwani Ab. Alim @ Ab. Halim, 34, agak mudah untuk ditemui kerana ia terletak betul-betul di tepi Jalan Pasir Puteh dekat Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.

Sebaik menjejakkan kaki ke dalam butik itu, beberapa rak yang menempatkan pelbagai koleksi pakaian wanita dilihat tersusun rapi manakala ruang dalamannya juga tampak kemas.

“Inilah butik kesayangan saya. Walaupun jenama Qayra Couture masih baharu dalam industri ini, Alhamdulillah, ia semakin dikenali dalam kalangan penggemar pakaian wanita moden termasuk dari luar negeri Kelantan,” kata anak jati kelahiran Kota Bharu itu untuk memulakan bicara.

Tiada pengalaman

Akui Nur Syazwani, dia tidak pernah mempunyai pengalaman dalam industri fesyen kerana dia lebih lama terlibat dalam perniagaan automotif milik keluarganya.

Namun, disebabkan keinginan yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baharu, dia bertekad menceburi bidang itu sambil dibantu adiknya, Nur Syazreen, 25.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan butik pakaian miliknya itu, Nur Shazwani berkata, ia bermula kira-kira dua tahun lalu dengan memasarkan tudung dan beberapa koleksi pakaian wanita menggunakan jenama Qayra Couture.

Ketika itu, adiknya bertindak sebagai pereka fesyen bagi menghasilkan pakaian dan tudung yang memenuhi selera wanita masa kini.

“Pada mulanya, kami hanya menjalankan perniagaan ini secara suka-suka. Kami hanya memasarkan pakaian rekaan kami melalui platform online menggunakan laman sosial Facebook dan Instagram.

“Kebanyakan pelanggan kami ketika itu terdiri daripada rakan-rakan yang berada di seluruh negara selain mereka yang telah mengenali jenama Qayra Couture.

“Walaupun pasaran tidak terlalu besar, permintaan terhadap tudung dan pakaian keluaran kami sentiasa ada,” katanya.

Jelasnya lagi, oleh kerana ramai pelanggan meminta untuk melihat sendiri pakaian yang dijual, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mula memasarkan produk jenama Qayra Couture dengan menyertai karnival usahawan selain dijual menggunakan kaedah jualan bonet kereta di sekitar Kota Bharu selama kira-kira enam bulan.

Tambahnya, idea untuk membuka butik tercetus selepas melihat permintaan terhadap pakaian jenama itu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Bagi memberi impak yang lebih besar terhadap pemasaran jenama Qayra Couture, dia mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan seorang pereka fesyen terkenal tanah air, Ezuwan Ismail.

Sambutan


NUR SYAZREEN (kanan) bersama seorang rakan kerap membantu Nur Syazwani mengadakan jualan car boot sale di sekitar Kota Bharu.


“Ketika majlis perasmian butik yang berlangsung pada Mei 2016, saya telah mengadakan acara peragaan fesyen secara ringkas bagi memperkenalkan rekaan terbaharu jenama Qayra Couture selain pakaian rekaan Ezuwan Ismail.

“Saya tidak menyangka sambutan yang diterima ketika itu sangat menggalakkan apabila jumlah tetamu dan pelanggan yang hadir melebihi daripada jangkaan.

“Malah, rata-rata mereka begitu teruja apabila berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen itu kerana acara seperti tersebut sangat jarang diadakan di negeri ini,” katanya.

Nur Syazwani menambah, hasil daripada kerjasama itu, Ezuwan Ismail turut melantik butik tersebut sebagai pengedar eksklusif pakaian jenamanya.

Ia bagi memudahkan pelanggan dari sekitar Pantai Timur untuk mendapatkan jenama itu tanpa perlu ke butiknya di Kuala Lumpur.

Tambah Nur Shazwani, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada para peminat fesyen di negeri itu, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan satu pihak bagi menganjurkan program Malam Fesyen Kelantan 2017 yang berlangsung pada April lalu.

Positif

Selain sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan, program yang berlangsung di Hotel Renaissance Kota Bharu itu juga menjadi platform untuk memperkenalkan koleksi baharu jenama Qayra Couture sempena Hari Raya Aidilfitri 2017.

“Kami tidak sangka penganjuran program itu berjaya meletakkan saya sebagai pemilik butik pakaian pertama dari Kelantan yang menganjurkan program peragaan fesyen di negeri ini.

“Sebab itulah ramai pengikut fesyen hadir pada majlis tersebut bagi memeriahkan suasana.

“Malah, kami turut menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan kami yang mahukan ia dijadikan sebagai acara tahunan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar usahawan butik pakaian, Nur Syazwani berkata, antara perkara yang tidak boleh dilupai ialah apabila ditipu pihak tertentu sehingga dia kerugian puluhan ribu ringgit.

Berhati-hati

Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika menganjurkan program Malam Fesyen Kelantan 2017 apabila ada pihak menarik diri pada saat-saat akhir.

Pada masa itu, semua surat jemputan khas kepada individu kehormat telah diedarkan dan mereka juga bersetuju untuk hadir.

Apabila pihak berkenaan menarik diri, dia buntu kerana terpaksa menanggung segala kos penganjuran program tersebut seorang diri.

“Namun, disebabkan keinginan yang tinggi untuk melihat program itu berjalan sempurna, saya kuatkan semangat walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar,” katanya.

Selepas melalui cabaran tersebut, dia kini semakin matang dalam perniagaan dan lebih berhati-hati menjalin kerjasama dengan pihak luar.

Bagaimanapun, dia masih optimis dan akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi membolehkan jenama Qayra Couture terus dikenali di negara ini.

“Baru-baru ini, saya telah bekerjasama dengan satu lagi jenama pakaian terkemuka, Cosry yang dimiliki oleh seorang ahli perniagaan, Ariff Quasry selain jenama tudung wanita, Asha Karim.

“Kedua-dua pihak turut melantik butik saya sebagai pengedar eksklusif jenama mereka untuk edaran di Kelantan.

“Kami juga sedang berbincang untuk meluaskan bentuk kerjasama ini dalam beberapa aspek lain khususnya membantu meningkatkan populariti jenama Qayra Couture,” katanya.

Tambahnya, dia juga merancang untuk meluaskan skop perniagaan butik itu dengan menggabungkannya bersama sebuah cafe berkonsepkan hipster bagi membolehkan para pelanggan membeli pakaian sambil menikmati hidangan secara santai.