Misi korban ceriakan penduduk Kemboja


KANAK-KANAK berselera menikmati menu daging korban yang dihidangkan.


IBADAH korban merupakan amalan mulia yang dilakukan umat Islam pada hari raya Aidiladha atau hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12,13 Zulhijah.

Hukumnya adalah sunat bertujuan mengingati peristiwa Nabi yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan puteranya, Nabi Ismail.

Meskipun peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua, namun ia menjadi satu penanda aras kepada umat Islam mengenai kesabaran, ketaatan serta bersedekah.

Mengambil semangat itu, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Kelab Ukhuwwah baru-baru ini telah melaksanakan program Ibadah Korban/Aqiqah 2017 di Kampung Tol Cham Plu, Mukim Tapon, Battambang, Kemboja.

Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam UUM, Ahmad Zabadi Mokhtar, 52, berkata, program yang dilaksanakan itu dapat membantu meringankan beban umat Islam di Kemboja dari segi kebajikan dan kemanusiaan.

Majoriti daripada mereka menetap di kawasan pedalaman dan tercicir daripada arus pembangunan seperti kemudahan asas, pendidikan dan sebagainya.

Perjalanan

“Bayangkan, untuk tiba di perkampungan itu sahaja kami perlu menaiki van selama empat jam dari Battambang. Di sana, kami terpaksa melalui laluan tanah merah yang berselut dan berlopak selama satu jam untuk ke kampung tersebut,” katanya.

Tambah Ahmad Zabadi, majoriti penduduk di kampung itu bergantung hidup dengan menangkap ikan dan menanam padi.

“Rumah mereka boleh diumpamakan seperti pondok buah di kebun-kebun di negara ini. Mereka menggunakan kayu sebagai struktur rumah dan plastik pula menjadi bumbung serta tampa kemudahan asas seperti air dan elektrik.

“Bayangkan, di situlah mereka berteduh dan menjalani kehidupan seharian. Biarpun banyak lembu dibela di sana, namun ada antara mereka tidak pernah merasai dagingnya kerana tidak mampu,” ujarnya.

Menurutnya, UUM tidak sekadar memberi sumbangan daging korban malah turut memberi ilmu pemantapan akidah dengan menjalankan program fardu ain bagi memperkukuhkan solat dan pengurusan jenazah.

“Selalunya bila berlaku kematian mereka terpaksa meminta bantuan penduduk dari kampung lain untuk menyempurnakan jenazah kerana tidak mempunyai kemahiran.

“Jadi, melalui bengkel yang diadakan kita didik mereka untuk menguruskan jenazah,” ujarnya.


SUKARELAWAN dan penduduk setempat bergotong-royong melapah daging lembu.


Seorang peserta, Azali Sapie, 41, berkata, dia menyertai ibadah korban itu kerana bersimpati dengan nasib penduduk Islam Kemboja.

“Saya menyertai program ini sejak tahun lalu kerana ingin melihat sendiri proses korban yang dilakukan dan memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun menyertai program ini saya berpuas hati dengan usaha yang dilakukan Pusat Islam UUM kerana kami berpeluang membantu mereka yang memerlukan di sana,” katanya.

Bercerita pengalamannya, ketika kunjungan pertama tahun lalu, dia terharu melihat kehidupan penduduk Islam di sana yang terhimpit dengan kemiskinan.

“Rumah tidak sempurna, pakaian mereka pula bercompang-camping dan paling memilukan ialah apabila melihat wajah kanak-kanak yang tidak mengenal erti kehidupan.

“Sebab itu, saya nekad menyertai program sama tahun ini kerana mahu membantu apa yang termampu demi menceriakan kehidupan mereka di sana,” katanya.

Sementara itu, kordinator program, Mohd. Yusnaidi Md. Sabri, 42, berkata, program yang memasuki edisi kelima itu bertujuan mengeratkan hubungan antara umat Islam kedua-dua negara.

Katanya, sebanyak 50 ekor lembu telah dikorbankan sebelum diagih-agihkan kepada penduduk setempat.

Prihatin

“Program ini sudah dimulakan sejak tahun 2013 yang bertujuan untuk membantu golongan miskin dan daif yang memerlukan di Kemboja. Semua sumbangan ini diterima daripada rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib saudara seagama mereka di sana,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau yang mesra disapa Ustaz Yusnaidi memberitahu, kakitangan Pusat Islam UUM bertanggungjawab menyembelih lembu manakala kerja-kerja melapah, mengagih dan menyediakan bahan-bahan mentah dan memasak kenduri dilakukan bersama penduduk setempat.

Jelasnya, selain ibadah korban, pihaknya turut menyampaikan hasil kutipan tabung Masjid UUM untuk disalurkan bagi program-program kebajikan seperti membayar gaji guru agama, serta membiayai aktiviti keagamaan serta pemberian uniform sekolah kepada kanak-kanak miskin.

“Bantuan yang diberikan juga bersifat jangka panjang bagi merancakkan perkembangan Islam di kampung tersebut.

“Lebih membanggakan, selepas lima tahun program ini saya dapati jumlah penganut Islam semakin bertambah dan masjid yang sebelum ini agak sepi juga semakin rancak dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian.

“Tahun ini, buat julung-julung kalinya penduduk kampung berpeluang menunaikan sunat Aidiladha di masjid kerana sebelum ini tiada siapa yang berkemampuan mengetuai solat berkenaan,” ujarnya.