Teknologi canggih teater muzikal Ola Bola


TEATER muzikal Ola Bola yang diadaptasi daripada filem dengan judul sama akan dipentaskan pada tahun hadapan menyaksikan gabungan semangat kesukanan yang tinggi dan kehidupan majmuk masyarakat Malaysia.


PEMENTASAN teater muzikal Ola Bola yang akan menemui penonton pada 8 Februari tahun hadapan merupakan naskhah termahal dalam sejarah penerbitan syarikat milik pelakon dan pengarah Puan Sri Tiara Jacquelina, Enfiniti (M) Sdn. Bhd. dengan melebihi kos sebanyak RM10 juta.

Sebelum ini, Tiara cukup terkenal dengan pementasan teater yang menggunakan bajet besar seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee Musical dan The Secret Life Of Nora.

Itu fakta yang diumumkan kepada media baru-baru ini, namun tidak mahu menjadikan kos belanja sebagai kayu ukur untuk sesebuah karya dinilai, sebaliknya Tiara berkata, adalah menjadi tanggungjawab untuk memberikan hasil terbaik memandangkan naskhah asalnya sendiri diterima baik oleh penonton.

“Pada saya, tidak banyak filem menuntut untuk dipentaskan dalam bentuk teater. Kalau tengok daripada segenap aspek yang ada pada filem Ola Bola, ia sebuah naskhah yang sangat hebat termasuklah dari segi pembikinan, jalan cerita dan hasil kutipan.

“Jadi, saya perlu hasilkannya dengan baik sebab Ola Bola merupakan filem yang mempunyai emosi besar terutamanya menyentuh hal kenegaraan dalam masyarakat kita,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan pelakon teater muzikal Ola Bola di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang baru-baru ini.

Maka, tidak hairanlah andai Tiara menjanjikan naskhah tersebut menjadi pementasan muzikal terbaik yang akan ditonton oleh rakyat Malaysia kerana ia disuntik dengan penggunaan teknologi paling canggih.

“Ini bukan janji kosong, tetapi daripada tenaga kerja dan kepakaran daripada pasukan kami, saya berharap agar naskhah ini dapat memberi definisi baharu dalam pementasan teater di Malaysia.

“Teknologi yang diguna pakai adalah hologram, projection mapping atau pemetaan cahaya dan teknik pencahayaan tiga dimensi (3D) kerana apa yang mahu dipersembahkan adalah suasana sebenar seperti menonton bola di dalam stadium sebenar.

“Malah, satu perkara baharu yang akan diwujudkan dalam pementasan ini adalah kedai kopitiam yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia kerana ia menjadi saksi kepada kemajmukan orang Melayu, India dan Cina membincangkan sesuatu isu tertentu pada zaman dahulu,” katanya.

Ganti watak

Dalam pada itu, kehadiran pelakon Iedil Putra menjadi salah satu daya tarikan pada pementasan teater tersebut apabila menggantikan watak pengulas sukan bernama Rahman yang dibawakan oleh Bront Palarae.

Mengulas tentang wataknya, Iedil, 32, berkata, watak Rahman akan dikembangkan dengan lebih banyak untuk pementasan itu.

“Secara jujurnya saya memang sangat teruja kerana diberi kepercayaan oleh Tiara untuk memegang watak Rahman. Malah, penglibatan dalam pementasan teater sebesar ini sangat mengujakan kerana sudah lama kita tidak disajikan dengan persembahan sehebat ini.

“Sebagai pengulas sukan, watak Rahman dikembangkan lagi kerana dia bertindak selaku pencerita untuk pementasan ini. Cabarannya sama sahaja dengan pelakon lain kerana kami semua perlu menari dan menyanyi rap tetapi ia menjadi pengalaman baharu buat saya,” ujarnya.

Selain Iedil, teater muzikal Ola Bola turut dilakonkan oleh penyanyi orap Altimet yang memegang watak sebagai Drill Sergeant Ahmad, Brian Chan, Abimanyu Masilamani, Kai Chalmers, Melissa Ong serta dua orang pelakon asal filem itu, Luqman Hafidz dan Lim Jian Wen.

Teater muzikal Ola Bola akan dipentaskan bermula 8 Februari hingga 11 Mac 2018. Tiket sudah boleh didapati sejak 16 Oktober lalu di laman web www.olabolamusical.com dengan harga diskaun sebanyak RM150 berbanding harga asal RM250. Promosi tersebut akan berakhir pada 16 November depan.