Jangan pandang remeh sakit demam selesema

Antara golongan yang terdedah dengan komplikasi serius demam selesema ialah wanita hamil. – Gambar hiasan


Influenza atau demam selesema mungkin jangkitan saluran pernafasan yang biasa berlaku, namun jangan sesekali mengambil mudah penyakit ini. Perunding Kanan Klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Yasmin Abdul Malek berkata, demam selesema boleh menyebabkan komplikasi berkaitan sistem pernafasan, kardiovaskular dan sistem saraf.

Berdasarkan serosurveillance iaitu komponen penting dalam mana-mana sistem pengawasan komprehensif untuk penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, demam selesema dikesan dalam 13 peratus sampel pernafasan yang diambil daripada pesakit berkenaan.

Menurut Yasmin, kajian menunjukkan antara tahun 2008 dan 2010, kadar paras patogen seperti virus dan beberapa mikroorganisma lain dalam populasi yang diukur dalam serum darah untuk Influenza A H1N1 adalah 22.3 peratus dan Influenza A H3N2 adalah 14.7 peratus.

“Walaupun ia sejenis penyakit yang biasa di Malaysia, namun kemudaratannya tidak boleh dipandang remeh, terutamanya jika kita termasuk dalam profil pesakit yang mudah dijangkiti.

"Malah, jika tidak dimasukkan ke hospital, seseorang yang dijangkiti demam selesema boleh mengalami komplikasi serius seperti serangan jantung atau angin ahmar," jelas beliau.

Komplikasi pernafasan yang berlaku akibat demam selesema termasuk sinusitis, pneumonia dan bronkitis.

Komplikasi

Sementara itu, komplikasi kardiovaskular termasuk kegagalan jantung dan berisiko tinggi terkena serangan jantung, komplikasi sistem saraf termasuk sindrom Reye. Sindrom Reye satu keadaan yang jarang berlaku tetapi serius. Ia boleh menyebabkan bengkak hati dan otak, ensefalitis virus akut pada kanak-kanak dan sindrom Guillain-Barre (gangguan autoimun).

Risiko komplikasi tertinggi berlaku dalam kalangan wanita hamil, kanak-kanak berumur antara enam dan 59 bulan, warga emas berusia lebih 65 tahun, golongan lemah sistem imun, mereka yang mengalami masalah perubatan tertentu seperti asma serta penyakit jantung atau paru-paru dan pekerja penjagaan kesihatan.

Menurut beliau, 50 peratus daripada mereka yang terkena jangkitan demam selesema lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala, justeru tanpa disedari menyebarkan penyakit itu kepada orang lain.

“Jika kita termasuk dalam golongan 50 peratus ini, kita mungkin tak rasa apa-apa, tetapi kitalah yang menyebarkan virus kepada orang lain seperti anak kita atau datuk nenek, sekali gus menyebabkan mereka jatuh sakit,” kata Yasmin yang juga pensyarah sambilan di Jabatan Mikrobiologi Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Wabak demam selesema dalam kalangan kanak-kanak sekolah juga sering berlaku di negara ini.

“Kanak-kanak sekolah mempunyai kadar tertinggi mendapat demam selesema ketika tempoh penyakit tersebar. Semasa wabak, mereka lebih awal dijangkiti berbanding golongan usia lain,” katanya sambil menambah kanak-kanak turut berdepan risiko menyebarkan penyakit itu dalam lingkungan kelompoknya berbanding orang dewasa.

Sambil merujuk kepada hasil kajian tempatan ke atas 132 kanak-kanak yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat demam selesema dari tahun 2002 hingga 2007, Yasmin berkata, 16 daripada mereka mengalami demam selesema yang teruk dan memerlukan penjagaan intensif atau pengalihudaraan. Sembilan daripada 16 pesakit itu sebelum ini dilaporkan sihat.

Tiga kematian dicatatkan. Antara yang meninggal dunia ialah seorang yang sihat sebelum itu, malah tidak ada sebarang tanda penyakit kronik.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di seluruh dunia pada tahun 2008, antara 28,000 hingga 111,500 kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dicatatkan akibat jangkitan respiratori akut yang dikaitkan dengan demam selesema.

Vaksin

Dianggarkan, 99 peratus daripada kes itu berlaku di negara-negara membangun. Yasmin berkata, dengan adanya vaksin demam selesema, komplikasi berkaitan influenza dapat dikurangkan.

WHO mencadangkan agar pemberian vaksin tahunan dibuat bagi individu berisiko tinggi, termasuk wanita hamil, kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun dan individu berumur lebih 65 tahun, selain penghidap penyakit kronik dan pekerja penjagaan kesihatan.

Orang dewasa yang mengambil vaksin demam selesema boleh membantu melindungi bayi di bawah usia tiga tahun yang masih belum boleh divaksin.

Vaksin selesema menyebabkan antibodi terbentuk dalam tubuh dua minggu selepas diberi vaksin. Antibodi ini memberikan perlindungan daripada sebarang jangkitan dengan virus yang terdapat dalam vaksin berkenaan.

Pada masa ini, terdapat dua jenis vaksin iaitu Trivalent inactivated vaccine (TIV) yang mengandungi dua strain Influenza A dan satu strain Influenza B; dan vaksin kedua, Quadrivalent influenza vaccine (QIV) yang terdiri daripada dua strain Influenza A dan dua strain Influenza B. – Bernama