Pemandu GrabCar cedera dipukul


Azizi (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil MAB di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa semalam.


KOTA BHARU – Lebih 40 pemandu perkhidmatan GrabCar negeri ini me­nyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Malaysia Airport Berhad (MAB) susulan salah seorang pemandunya cedera selepas didakwa ditumbuk di hidung oleh pemandu teksi dalam kejadian di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 20-an memandu kereta Proton Saga BLM dipercayai dipintas sebelum dicederakan beberapa pemandu teksi. Tindakan pemandu teksi itu dikatakan berpunca daripada mangsa mengambil seorang penumpang di pintu balai ketibaan yang dikhaskan untuk penumpang teksi.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perbuatan beberapa pemandu teksi tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Seorang wakil pemandu perkhid­matan GrabCar, Azizi Ismail,35, berkata, tujuan penyerahan memorandum kepada MAB kerana mereka bimbang dengan keselamatan pemandu GrabCar lain yang mungkin akan menerima nasib sama.

“Kami amat kecewa dengan kejadian yang menimpa pemandu GrabCar terbabit. Tindakan beberapa pemandu teksi berkenaan bagai samseng jalanan,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.