Jual celorot masa kecil untuk cari duit poket

KHIRUDIN menyertai pasukan bomba sejak tahun 1989.


DETIK cemas ketika menjalankan operasi menyelamat tiga beradik yang terperangkap di dalam sebuah bilik sewa di Sibu, Sarawak pada tahun 1994 masih segar dalam ingatan lelaki itu.

Walaupun tidak mempunyai pertalian darah, hati siapapun akan luluh apabila melihat ketiga-tiga mangsa mati berpelukan.

Beliau benar-benar kesal dengan tragedi yang menimpa keluarga kecil itu.

“Ia adalah antara kes menyayat hati yang tidak mungkin saya lupakan.

“Mangsa yang ketika itu berusia enam dan tiga tahun manakala adik bongsu yang baru berusia tujuh bulan dipeluk erat oleh si sulung kerana tidak dapat melepaskan diri daripada kebakaran berkenaan selepas ibunya mengunci pintu bilik.

“Difahamkan, ibu kanak-kanak tersebut baru berpisah dengan suaminya dan terpaksa menyewa bilik itu. Semasa ditemui, kami dapati ada alat memasak di dalam bilik berkenaan,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur (KL), Khirudin [email protected], 52.

Ketika kejadian itu, beliau memangku jawatan sebagai Pegawai Penjaga Balai Bomba Sibu, Sarawak.

Ternyata, tragedi tersebut meninggalkan kenangan yang sangat mendalam kerana ia berlaku pada awal pembabitannya dalam bidang kebombaan.

Pertemuan selama dua jam setengah ketika menemu bual anak kelahiran Kuching, Sarawak itu baru-baru ini memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada penulis. Beliau berkongsi pelbagai kisah suka, duka dan gembira sejak kecil sehingga kini.

Menurut Khirudin, berada dalam pasukan bomba selama 28 tahun tidak semudah yang disangka.

Semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Jurusan Diploma Perniagaan, ramai yang menggelarnya sebagai Khirudin Polis. Beliau terkenal dengan sikap gemar menangkap pelajar yang membuat salah terutamanya pelajar lelaki di Kolej Perindu UiTM, Shah Alam.

“Baik pelajar yang lebih muda atau tua daripada saya, jika mereka melakukan kesalahan, saya pasti akan tegur mereka. Rakan-rakan memang tahu tentang perangai saya ini.

“Sebabnya, jika pengawal keselamatan dapat tahu, mereka akan dikenakan tindakan yang lebih teruk,” tuturnya yang berminat dengan kerjaya pasukan berpakaian seragam terutamanya polis.

Bapa kepada lima cahaya mata itu pernah menghadiri temu duga untuk menjadi polis, namun rezeki tidak memihak kepadanya.

Kadet terbaik


ANTARA tugas yang perlu digalas Khirudin adalah menguruskan lebih 900 anak buah di bawah jabatannya.


Malah, selepas temu duga itu, beliau juga pernah membuat permohonan sebanyak dua kali tetapi masih gagal.

Rupa-rupanya rezeki lelaki itu berada dalam bidang kebombaan. Khirudin menyertai pasukan bomba pada usia 23 tahun. Lebih manis, semasa menjalani latihan di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada tahun 1988, beliau dianugerahkan sebagai kadet terbaik secara teori dan praktikal.

Lelaki berkulit cerah itu mengakui, memikul tanggungjawab sebagai Pengarah memerlukan beliau menjadi seorang pegawai yang berdedikasi dan kreatif.

Beliau perlu menguruskan lebih 900 anak buah di bawah jabatannya. Selain itu, Khirudin juga perlu menjalankan pelbagai kewajipan lain seperti merancang, merangka, mengawal selia dan mengemas kini urusan penguatkuasaan penghapusan bahaya kebakaran, perakuan bomba, denda kesalahan dan penyiasatan kes-kes berdasarkan peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Melihat kepada tugasan-tugasan yang perlu dijalankan, ternyata tanggungjawab pasukan bomba tidak hanya terhad untuk memadamkan kebakaran semata-mata.

Beliau memberitahu, memadamkan kebakaran juga memerlukan ilmu dan kebijaksanaan.

Kurang ilmu


KHIRUDIN bersama keluarganya. Dari kiri: Nur Farahin, Nur Iqmal, Nur Liyana, Khirudin, Sorryta Asgar Khan (isteri), Nur Syahirah dan Nur Syafiqah.


“Misalnya, jika berlaku kebakaran, kami perlu tahu punca atau jenis kebakaran terlebih dahulu sebelum bertindak. Boleh jadi kebakaran tersebut disebabkan bahan kimia, elektrik, kertas, kain, plastik atau sebagainya. Malah, jenis bangunan juga penting.

“Ahli bomba bukan boleh sembur air sesuka hati,” terangnya. Menurut beliau tragedi kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa pada 14 September lalu merupakan kejadian terbesar yang berlaku dalam tempoh lima tahun beliau memegang jawatan sebagai Pengarah JBPM KL.

Khirudin yang memiliki Sarjana Perancangan dan Tindakan Kecemasan, Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, sepanjang menjadi anggota bomba, hasil pemerhatiannya mendapati banyak kesilapan dan kelalaian berpunca daripada kurangnya ilmu mengenai kebakaran.

“Masyarakat kita terlalu ambil mudah mengenai isu kebakaran. Beritahu saya, berapa banyak rumah yang tidak mempunyai alat pemadam kebakaran? Kereta bernilai puluhan ribu ringgit kita boleh beli tetapi alat yang hanya bernilai kurang RM100 itu tak mampu dimiliki.

“Selepas ini, saya nak sarankan kepada kerajaan supaya mewajibkan semua rumah ada alat pemadam kebakaran,” tegasnya.

Walaupun sibuk dengan tugasan harian, beliau sering mengambil pendekatan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan demi kepentingan keselamatan kebakaran.

Namun, ketika beliau ingin menabur bakti melakukan kerja-kerja kebajikan, masih ada suara-suara sumbang seolah-olah tindakannya itu merendahkan martabatnya sebagai seorang Pengarah JBPM.

Khirudin tidak peduli kerana beliau tahu matlamat hidupnya. Walaupun sering diperkotak-katikkan, beliau tetap bertegas dengan pendiriannya.

Namun, ketegasan yang terbit dalam dirinya itu perlu bertempat.

“Selepas menyertai lapangan ini, saya bertekad mahu mendedikasikan segala pengalaman dan pengajaran yang dikutip kepada komuniti. Saya mahu beri semula apa yang saya ada (idea) kepada masyarakat.

“Jadi, saya tubuhkan balai-balai komuniti, perpustakaan, mengambil sekolah angkat dan sentiasa turun padang,” ujar anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Sepanjang perkhidmatan, beliau sentiasa menampilkan pembaharuan dan perubahan dalam JBPM.

Ketika bertugas di JBPM Sibu, Sarawak lebih sedekad, balai bomba lama dan usang telah berubah wajah. Bahkan, memenangi Anugerah Balai Cemerlang Peringkat Kebangsaan 1995 ketika pertama kali ia dianjurkan.

Selain itu, balai bomba berkenaan juga memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Landskap Bangunan Kerajaan Peringkat Negeri Sarawak. Malah, mendapat tempat kedua dalam Anugerah Inovasi JBPM Peringkat Kebangsaan 1997.

Mengimbas zaman kecilnya, Khirudin memberitahu, sejak berusia lapan tahun lagi, beliau sudah mula membantu keluarga menjual kuih-muih di sekitar kampungnya di Kampung Bintangor.

Sebak


CELOROT merupakan kuih yang dijual Khirudin semasa kecil bagi membantu meringankan beban keluarganya.


“Saya berjalan kaki dari kampung ke kampung untuk menjual kuih-muih yang dibuat oleh ibu seperti celorot. Celorot merupakan sejenis kuih tradisional Sarawak yang diadun daripada tepung beras dan santan.

“Sejak kecil saya sudah dibiasakan dengan melakukan kerja-kerja sebegini. Selain dapat meringankan beban keluarga saya mahu mencari duit poket sendiri.

“Ibu saya, seorang suri rumah sepenuh masa manakala bapa berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat insurans,” tuturnya.

Dalam kerancakan berkongsi cerita, tutur katanya tiba-tiba terhenti seketika. Beliau menahan sebak apabila terkenangkan cabaran hidup semasa kecil.

Ini kerana, ada kalangan rakan dan ahli keluarga yang menghina kerana menjual kuih serta melarangnya memasuki kampung sebelah. Namun, sikapnya yang tidak mudah berputus asa itulah yang menjadikan siapa beliau pada hari ini.