Kemelut industri batu permata Kashmir


BATU delima menjadi tarikan pelombong kerana bernilai tinggi di pasaran.


TIADA siapa yang menyangka, di bawah perut bumi berhampiran wilayah Kashmir, Pakistan tersembunyi batu permata bernilai tinggi iaitu batu delima atau ruby yang dianggarkan bernilai berbilion dolar.

Bagaimanapun, penggunaan peralatan tradisional, kekurangan pelaburan dalam infrastruktur dan aspek teknikal membantutkan usaha untuk menjadikan wilayah itu sebagai pengeluar industri berkenaan.

“Kami mempunyai batu delima yang berkualiti tinggi, setanding dengan batu delima di Myanmar. Namun, teknik perlombongan mereka lebih sofistikated,” kata seorang peniaga batu permata itu, Huma Rizvi.

Ketika ini, terdapat sebuah lombong batu permata di Kashmir manakala satu lagi lombong masih diteroka, sekali gus menjadi tumpuan pelombong yang mahu mencari kekayaan.

Menurut kaji selidik geologi yang dijalankan, wilayah itu mempunyai rizab batu permata melebihi 40 hingga 50 juta gram.

Seorang pelombong, Muhammad Azeem menghabiskan masa empat bulan melombong di Chitta Katha yang terletak di lereng Himalaya yang memerlukan pemanduan selama 11 jam sebelum berjalan kaki dua jam untuk tiba di Muzaffarabad, ibu negara Kashmir.

“Saya telah menggerudi lubang di dalam lombong ini sebelum meletupkannya dengan bahan letupan. Ia merupakan proses sukar,” katanya.

Kerja keras yang dilakukan itu bertujuan untuk memperoleh ganjaran yang tidak disangka-sangka. Misalnya, tahun lalu, seorang pelombong berjaya menemui batu delima bersaiz sebiji telur.

Ramai pakar percaya, industri itu mampu mengubah kehidupan penduduk di rantau tersebut yang dianggarkan lebih empat juta orang menjalani kehidupan secara sederhana di situ.

Bagaimanapun, industri batu permata hanya menyumbang satu peratus daripada hasil cukai Kashmir.

Ketua Pengarah Azad Kashimir Mine and Industri Development Company, Shahid Ayub berkata, pihak berkuasa yang mentadbir wilayah itu tidak mempunyai dana untuk membeli jentera baharu atau membina lebih banyak lombong.

“Kerja perlombongan dilakukan secara manual atau dengan letupan kecil dan kami kehilangan 40 hingga 50 peratus nilai batuan tersebut.

“Disebabkan kekurangan pelabur, kami tidak dapat melombong sepenuhnya sumber bumi berkenaan,” katanya.

Rizvi berkata, sekiranya batu delima atau mineral semula jadi seperti tembaga, emas dan perak mahu dijadikan sebagai sumber ekonomi di Pakistan, ia perlu melibatkan pelaburan dalam kepakaran tempatan serta kerangka perundangan untuk menyokong sektor berkenaan.

Risiko


AKTIVITI - perlombongan batu permata masih menggunakan kaedah tradisional di Kashmir.


Bagaimanapun, kekurangan firma swasta dalam pelaburan itu disebabkan oleh kedudukan wilayah tersebut yang terletak di sempadan antara India dan Pakistan yang sentiasa tegang.

Malah, beberapa syarikat perlombongan terkenal juga tidak berani mengambil risiko untuk melabur di Pakistan yang dibelenggu oleh pertikaian undang-undang mengenai konsesi tembaga dan emas di kawasan barat daya negara itu.

Tambah Rizvi, isu lain yang turut dibangkitkan ialah kekurangan peraturan dan undang-undang.

“Tiada siapa yang mengetahui peniaga dan pembeli terbabit boleh dipercayai atau tidak. Setiap kawasan mempunyai peraturan berbeza,” ujarnya.

Pendekatan semasa adalah tidak menentu dan ketika batu delima dilombong disebabkan oleh warnanya, batu yang dibawa keluar mempunyai kualiti yang berbeza.

“Ia bergantung kepada nasib. Apabila memotongnya, anda mungkin menemui batu yang cantik, rosak atau retak,” kata Mir Khalid yang mempunyai kedai batu permata di Kashmir.

Industri batu permata di Pakistan masih lagi pada peringkat awal dan dibatasi oleh fakta batu-batu tersebut dilarang dibawa keluar dari wilayah berkenaan sebagai langkah membanteras kegiatan penyeludupan.

Pengarah pusat bagi agensi yang ditubuhkan untuk melatih pengukir batu permata di Muzaffarabad, Imran Zafar berkata, banyak batu permata dijual secara tidak rasmi dan diproses di Thailand atau India.

Di sekeliling lelaki itu, terdapat sedozen pengukir yang sibuk mencanai dan mereka bentuk batu permata menjadi batuan bernilai.

“Saya gemar batu permata seperti batu delima, nilam dan turmalin. Dengan sedikit latihan, kami mampu bersaing di pasaran antarabangsa,” kata salah seorang pengukir batu permata, Abdul Rahmane. – AFP