Adam bersemangat gegarkan Sepang


ADAM yang berjaya meraih lapan mata pada GP Australia dilihat menerima suntikan semangat untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang pada GP Malaysia di Sepang hujung minggu ini.


PELUMBA berbakat negara, Adam Norrodin menerima suntikan semangat terbaik menjelang aksi Grand Prix (GP) Malaysia pada hujung minggu ini apabila penunggang SIC Racing Team itu mengutip lapan mata pada GP Australia di Litar Phillip Island semalam.

Pada saingan tersebut, pelumba berusia 19 tahun itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-22 tidak kenal erti putus asa apabila berjaya mempamerkan aksi luar biasa dengan memecut laju untuk berada dalam kelompok 10 terbaik.

Meskipun Adam mampu mengejar kelompok di hadapan, namun cubaan tersebut tidak kesampaian apabila saingan itu terpaksa dihentikan apabila hujan lebat membasahi Litar Phillip Island yang ketika itu hanya berbaki enam pu­singan sebelum tamat.

Pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor tersebut mengakui terpaksa berpuas hati di tempat kelapan dan yakin keputusan positif yang diraih di Australia mampu meningkatkan motivasi menjelang GP Malaysia.

“Saya sangat gembira dengan keputusan yang diraih hari ini (semalam). Minggu ini adalah perlumbaan yang sukar bagi saya dan meraih keputusan dalam kelompok 10 me­rupakan rekod terbaik saya musim ini.

“Namun, perlumbaan tersebut bukan mudah kerana saya terpaksa bersaing dengan kelompok hadapan. Keadaan berubah apabila keadaan litar sedikit basah akibat hujan.

“Saya lihat ramai pelumba terkeluar daripada saingan, namun saya mengambil langkah berhati-hati dan hanya fokus sebelum perlumbaan dihentikan selepas bendera merah dikibarkan (hujan lebat).

“Apa-apa pun saya sangat berpuas hati dengan keputusan di kedudukan kelapan. Saya yakin keputusan positif di Australia mampu meningkatkan semangat dan kini saya lebih bersemangat untuk mengutip mata di Sepang,” katanya semalam.

Lebih manis, rakan sepasukan Adam, Ayumu Sasaki menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh. Kini Sasaki mengumpul 25 mata untuk berada di tangga ke-22 keseluruhan manakala Adam berada di kedudukan ke-17 selepas mengutip 37 mata sepanjang 16 perlumbaan musim ini.