Sivasangari permata baharu skuasy Malaysia


SIVASANGARI (kanan) berjaya menumpaskan pemain dari Afrika Selatan, Milnay Louw untuk meraih kejayaan terbesar dalam karier jelajah PSA sekali gus berada di ranking No. 2 Malaysia ketika ini.


GELARAN ‘The Next Nicol’ yang merujuk kepada ratu skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David bagaikan sudah menemui pemiliknya setelah pemain muda skuasy negara, S. Sivasangari melakar sejarah dalam kariernya apabila me­rangkul kemenangan terbesar dengan menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Kejayaan terbesar dalam jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) itu juga bakal melonjakkan kedudukan rankingnya sebagai pemain No. 2 negara di belakang ratu skuasy Malaysia setelah turut merangkul gelaran Siri Jelajah Malaysia dan Piala Cabaran Beijing secara berturut-turut bulan ini.

Bukan itu sahaja, anak jati Kedah tersebut juga tampil sebagai satu-satunya pemain wanita negara yang berjaya merangkul gelaran Terbuka Malaysia selepas Nicol melakukannya sebanyak lapan kali sebelum ini.

Pemain berusia 18 tahun tersebut membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila tewas satu set sepanjang empat hari kejohanan berlangsung iaitu ketika menentang pemain Jepun, Satomi Watanabe di peringkat separuh akhir.

Walaupun sudah terbiasa apabila sering kali diramalkan sebagai pengganti Nicol, pemain di ranking ke-47 dunia itu enggan merasakan dirinya berbakat dan mahu memberikan kredit di atas kerja keras yang diusahakan sejak berusia tujuh tahun.

Memulakan awal tahun lalu dengan pencapaian kurang konsisten, Sivasangari yang baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menarik nafas lega dapat kembali mencari rentak selepas memberikan sepenuh tumpuan terhadap sukan skuasy.

Sivasangari turut mengakui, lima kemenangan pada tahun ini memberikannya suntikan semangat untuk terus melakar kejayaan sama pada Terbuka Australia bermula 14 hingga 18 November depan.

“Terus terang, tiada rahsia di sebalik kejayaan saya ini. Pada awal tahun lalu, saya agak tertekan untuk menghadapi peperiksaan SPM pada Ogos lalu dan tidak dapat beri fokus.

“Sekarang saya sudah boleh beri tumpukan pada skuasy dan nasib baik, saya sudah dapat kembali di landasan yang betul. Pada saya, bakat sahaja tak cukup, kerja keras yang membawa saya ke tahap ini.

“Dapat bergelar No. 2 di Malaysia memang bagus. Saya akan cuba kekalkan dan saya harap satu hari nanti dapat bergelar pemain No. 1 negara,” jelas pemain yang menjadikan Nicol sebagai idolanya.

Dalam pada itu, pemain lelaki kebangsaan, Ng Eain Yow juga wajar diberi pujian walaupun gagal menamatkan kemarau gelaran yang kali terakhir dirangkul bekas pemain negara, Mohd. Azlan Iskandar pada tahun 2010.

Juara Remaja Dunia 2016 berkenaan mempamerkan potensi untuk lebih menyerlah pada masa depan dengan menumpaskan dua pemain di ranking lebih baik, Mazen Gamal dari Mesir dan rakan senegara, Ivan Yuen dalam perlawanan lima set penuh mendebarkan.

Eain Yow yang menduduki tangga ke-77 dunia bagaimanapun tidak mampu mengulangi kecemerlangan tersebut ketika bertemu pemain ke-28 dunia dari Hong Kong, Leo Au di pentas final kelmarin.

Kekalahan tersebut menambah lagi episod duka Eain Yow yang gagal menyerlah pada lima kejohanan PSA yang disertainya setelah kali terakhir merangkul gelaran Terbuka NT di Australia Mei lalu.

Bagaimanapun, atlet berusia 19 tahun itu tetap bersemangat untuk mengkaji kembali semua aspek yang boleh diperbaiki agar dapat memastikan dirinya bukan setakat jaguh pada peringkat remaja.

“Saya agak kecewa dengan pengakhiran perjuangan saya pada kejohanan ini, namun saya tetap berpuas hati dengan keseluruhan pencapaian minggu ini. Saya dan jurulatih akan analisis kembali kesilapan-kesilapan yang saya lakukan.

“Saya perlu berusaha meningkatkan tahap permainan agar dapat merapatkan jurang ranking bersama pemain-pemain senior. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan,” ujarnya.