Marquez hampiri gelaran dunia keempat MotoGP


MARQUEZ semakin hampir menggenggam gelaran juara dunia buat kali keempat selepas muncul juara pada GP Australia semalam.


AUSTRALIA – Pelumba sensasi Sepanyol, Marc Marquez semakin hampir untuk menggenggam gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila melakar kejutan meraih kemenangan pada aksi Grand Prix (GP) Australia selepas pencabar utamanya, Andrea Dovizioso sekadar berada di kedudukan ke-13.

Hasil kemenangan itu menyaksikan pelumba Repsol Honda tersebut kini mempunyai kelebihan untuk meraih gelaran keempatnya dalam saingan utama MotoGP selepas meninggalkan Dovizioso dengan perbezaan 33 mata selepas mengutip 269 mata dalam 16 pusingan.

Sekiranya Dovizioso masih gagal memberi aksi yang cemerlang, Marquez mampu meraih kejuaraan lebih awal di GP Malaysia yang akan berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagaimanapun, dengan berbaki dua perlumbaan sebelum tamatnya saingan 2017, Dovizioso masih mampu untuk memberi cabaran untuk meraih gelaran dunia musim ini sekiranya berjaya membuatkan Marquez gagal menamatkan saingan di salah satu perlumbaan iaitu di GP Malaysia atau Valencia.

“Sangat luar biasa perlumbaan hari ini (semalam) dan saya sudah jangka perlumbaan di Australia merupakan aksi yang sengit perlu saya tempuh. Saya tidak jangka masih mampu menaiki podium meskipun awal saingan terpaksa bergelut dengan pelumba hebat seperti Johann Zarco.

“Pada awal perlumbaan saya terpaksa bekerja keras apabila sedikit ke­tinggalan. Namun, saya tidak mahu panik ataupun tergesa-gesa, malah hanya menunggu waktu sesuai untuk berada di hadapan.

“Dalam baki tujuh pu­singan sebelum tamat, saya lihat Dovizioso berada jauh dan ia adalah peluang terbaik untuk terus memecut. Saya tidak lagi toleh ke belakang dan seterusnya meraih kemenangan di sini.

“Pada minggu ini, saya lihat pencabar utama saya iaitu Dovizioso sedikit bergelut dengan jenteranya. Oleh itu, saya sudah jangka keadaan tersebut memberi kelebihan kepada saya untuk menjarakkan kedudukan dalam baki dua pusingan ini,” ujarnya.

Pada saingan tersebut pasukan Movistar Yamaha melakukan kejutan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga iaitu masing-masing menerusi Valentino Rossi serta Maverick Vinales. – Agensi