Penyokong Pas, PAN tegang isu ‘perebutan’ Wisma Tok Guru

23/10/2017 9:23am


Kekecohan yang berlaku di Wisma Tok Guru malam tadi.


KOTA BHARU - Berlaku ketegangan antara penyokong Pas dan penyokong parti serpihannya, PAN khsususnya berhubung isu perebutan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, ketegangan antara kedua-dua penyokong bermula selepas Ketua Pemuda PAN negeri, Hazmi Hassan meminta izin daripada Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fazdli Shari untuk menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penyokong parti berkenaan yang berada di kawasan itu.

Ketegangan dan perang mulut antara penyokong kedua-dua parti itu berlaku kira-kira lima minit sebelum ditenangkan oleh pihak polis.

Terdahulu ketika berucap, Ahmad Fadzli berkata, tindakan memasang bendera itu diadakan sebagai permulaan dan petanda awal bahawa tanah serta bangunan ini adalah hak milik Pas.

“Pas telah memberikan notis sebulan kepada pihak yang menduduki bangunan ini untuk mengosongkannya selewat-lewatnya pada 14 November depan. Walaupun sudah menjadi hak kita, tetapi bagi mengelakkan perkara berlanjutan kita mengambil keputusan untuk tidak mengakses bangunan ini.

"Kita sekadar meletakkan bendera di bahagian luar sahaja sebagai penghargaan kepada penyokong yang menyumbang untuk kita mencipta sejarah melihat bangunan ini kembali menjadi milik Pas,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baru untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan wisma tersebut.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan berkenaan.

Selain menempatkan pejabat PAN Kelantan ia juga menjadi pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa Husam. - K! ONLINE