Tanah runtuh: Mayat terakhir dijumpai

23/10/2017 11:57am


Mayat salah seorang mangsa tanah runtuh hari ini.


GEORGE TOWN - Mayat terakhir daripada 11 mangsa yang terperangkap dalam tragedi tanah runtuh di tapak projek kondominium Granito @ Permai, Tanjong Bunga di sini telah dikeluarkan pasukan penyelamat pada pukul 11.15 pagi tadi.

Mayat warga tempatan yang merupakan penyelia tapak projek, Yuan Kouk Wern, 27, yang dijumpai pada pukul 7.03 pagi dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk urusan bedah siasat.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Farizan Darus pada sidang akhbar di lokasi kejadian sebentar tadi berkata, setakat ini kesemua mangsa yang dilaporkan tertimbus telah berjaya dikeluarkan, namun ketika ini pasukan K9 akan melakukan pemantauan akhir sebelum operasi ditamatkan.

Kejadian tanah runtuh berlaku semasa 14 pekerja buruh termasuk seorang penyelia tapak projek sedang menjalankan kerja-kerja memasang tiang serta mengikat konkrit di ruang bawah tanah kondominium setinggi 50 tingkat itu kita-kira pukul 8.30 pagi kelmarin. - K! ONLINE