KUIPs rai 132 graduan sempena konvokesyen pertama

23/10/2017 3:02pm


Pelajar KUIPs majlis Istiadat Konvokesyen pertama hari ini.


KANGAR - Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) meraikan 21 pelajar diploma dan 111 pelajar asasi yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada majlis Istiadat Konvokesyen Pertama KUIPs di sini, hari ini.

Seramai 21 graduan diploma menerima sijil masing-masing yang merangkumi Diploma Perbankan Islam, Diploma Pengajian Islam dan Diploma Syariah.

Dalam perkembangan sama, 111 pelajar Asasi Muamalah dan Pengajian menerima sijil masing-masing.

Rektor KUIPs, Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam berharap, setiap kakitangan, alumni dan pelajar dapat menyokong dan membantu merealisasikan hasrat kolej universiti itu menjadi sebuah universiti sepenuhnya yang berteraskan wakaf.

"KUIPs akan terus memperkasa bidang penyelidikan dan dakwah Islam dengan mengadakan siri bengkel, seminar dan konvokesyen untuk memacu kemajuan umat Islam di negara ini serta peringkat antarabangsa," katanya di Mess Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Canselor KUIPs, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat hadir dan berkenan mengurniakan diploma kepada 21 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma.

KUIPs kini mempunyai 465 pelajar. - K! ONLINE