OKU lembam tahan sakit 14 jam kemaluan bengkak tersangkut kepala botol mineral 1.5 liter

23/10/2017 2:51pm


Bomba memotong kepala botol mineral yang terlekat pada kemaluan seorang lelaki.


TAIPING – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) lembam terpaksa menahan sakit selama 14 jam selepas kemaluannya membengkak akibat kepala botol mineral 1.5 liter tersangkut pada kemaluannya sejak malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10 malam itu, mangsa yang berusia 29 tahun itu berusaha untuk mengeluarkan kepala botol mineral tersebut namun gagal sebelum hadir ke Hospital Taiping pada pukul 10.30 pagi untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, isteri mangsa memasukkan botol mineral tersebut ke dalam kemaluan untuk memudahkan mangsa membuang air kecil.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Izuan Che Ibrahim berkata, bomba menerima panggilan daripada pihak hospital pada pukul 11.27 pagi sebelum lapan anggota bergegas ke hospital.

“Tiba di hospital, mangsa dalam keadaan berbaring menahan kesakitan dan anggota kemudian menggunakan peralatan khas untuk memotong kepala botol tersebut.

“Anggota melakukan pemotongan tersebut dengan keadaan sangat berhati-hati selama kira-kira 25 minit agar tidak mendatangkan sebarang kecederaan lain kepada kemaluan mangsa,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Izuan, mangsa kemudian diserahkan kembali kepada pihak hospital dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari. - K! ONLINE