Geng Mart aktif samun kedai serbaneka di Klang tumpas

23/10/2017 2:43pm


Dua lagi suspek S. Thinagaran dan T. Sivaneswaran dicari polis.


KLANG - Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah dikenali Geng Mart yang aktif terlibat dalam enam kes samun termasuk kedai serbaneka sejak sebulan lalu dengan penahanan enam anggota kumpulan terbabit baru-baru ini.

Kesemua suspek lelaki berusia 23 hingga 27 tahun diberkas di sekitar daerah ini pukul 1 pagi pada 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penangkapan anggota geng terbabit dilakukan selepas kesemua mereka merompak sebuah kedai serbaneka di Bukit Tinggi pada 19 Ogos lalu.

Katanya, dalam kejadian tersebut tiga suspek bersenjatakan parang dan memakai topeng telah melarikan wang tunai berjumlah RM1,800 dan 15 kotak rokok pelbagai jenis sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.

"Hasil risikan selama dua minggu, kita akhirnya berjaya memberkas enam anggota geng terbabit di sekitar daerah ini selain merampas Myvi yang digunakan untuk melakukan kegiatan samun.

"Siasatan terhadap suspek mendapati terlibat dalam lima kes samun kedai serbaneka dan satu kes samun kenderaan di daerah ini," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Kata beliau, semakan turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes samun, gaduh dan ugutan jenayah.

Ujarnya, pihaknya kini mengesan dua lagi anggota geng terbabit dikenali S. Thinagaran, 23, dan T. Sivaneswaran, 34.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurnazihah di talian 019-9068844 atau mana-mana balai polis berdekatan.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," jelasnya. - K! ONLINE