Mahkamah Tinggi tolak permohonan semak keputusan reman Shafie Apdal

23/10/2017 2:54pm


Mohd. Shafie berbaju oren.


KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini membatalkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Masjistret membenarkan reman terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Ismail Brahim mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang meluluskan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan reman Mohd. Shafie selama empat hari.

Mohd. Shafie ditahan bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abd. Hadi dan Rustam Anip manakala Mohd. Shafie diwakili barisan peguam yang diketuai Martin Tommy.

Pihak pembelaan mengutarakan hujah SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan reman Shafie mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah kerana melanggar undang-undang.

Pihak pembelaan turut berpendapat tahanan reman terhadap Shafie telah melanggar hak kebebasan individu.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak Mahkamah Tinggi mengekalkan perintah reman terhadap Mohd. Shafie. - K! ONLINE