Ribut di Terengganu, bantuan segera kepada penduduk terjejas

23/10/2017 6:17pm


Ahmad Razif (kanan) melihat bumbung rumah seorang penduduk Kampung Pusu Tiga yang terjejas teruk akibat dilanda ribut.


MARANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Daerah dan Tanah negeri Terengganu diarahkan untuk mengenal pasti rumah-rumah penduduk kampung yang terjejas akibat dilanda ribut semalam supaya bantuan segera dapat disalurkan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia menjadi keutamaan kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan meminta tindakan pantas dapat diambil bagi membaiki rumah-rumah yang rosak.

"Saya telah beri arahan, apa yang perlu dibaiki mesti disegerakan dan lebih elok jika kita dapat menjalankan kerja-kerja tersebut secara bergotong-royong dengan melibatkan semua pihak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Pusu Tiga di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Razif meninjau beberapa kawasan di Paya Resak dan Alor Limbat di daerah Marang yang terjejas teruk akibat dilanda ribut termasuk melawat empat rumah penduduk kampung.

Semalam lebih 100 rumah di sembilan kawasan perumahan di Kuala Terengganu mengalami kerosakan selepas di landa ribut.

Ribut selama kira-kira 15 minit bermula pada pukul 2.54 petang itu turut menumbangkan berpuluh-puluh pokok di sekitar bandar raya tersebut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, antara penempatan yang terjejas akibat ribut itu ialah Kampung Tok Hakim, Padang Midin, Kampung Gelugor Kedai da Kampung Baru Serada. - K! ONLINE