Dua peragut tular di laman sosial tumpas

23/10/2017 5:04pm


Dua suspek yang berjaya dirakamkan.


KOTA BHARU - Dua lelaki yang dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) meragut telefon bimbit seorang wanita dan menjadi tular di laman sosial tumpas selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Jalan Mek Zainab dan Kampung Badang, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, seorang lelaki warga Kemboja berusia 26 tahun ditahan dalam serbuan di rumahnya di Jalan Atas Paloh di sini manakala suspek kedua merupakan lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan di Kampung Kijang, Badang kira-kira 45 minit berikutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, hasil serbuan di kediaman lelaki asing dikenali sebagai Fais Kemboja itu polis merampas sehelai baju T berwarna hitam, sehelai seluar pendek celoreng, topi bertulis Exo yang dipakai suspek ketika kejadian.

"Siasatan awal yang dilakukan mendapati suspek pertama mengaku telah meragut seorang wanita berketurunan Cina di tepi Jalan Mek Zainab di sini pada Jumaat lalu bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Ali yang tinggal di Kampung Kijang.

"Melalui maklumat suspek pertama kita berjaya mengesan rakan subahatnya dan menahan suspek kedua itu ditahan di rumahnya kira-kira pukul 4.45 pagi tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE