UTC Perlis beri manfaat kepada lebih 200,000 rakyat negeri

23/10/2017 6:25pm


Azlan Man (kanan) semasa melawat UTC Perlis di Kangar hari ini.


KANGAR - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis di sini yang kini beroperasi dalam kapasiti penuh mampu melancarkan urusan lebih 200,000 rakyat negeri itu dengan 22 agensi kerajaan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, antara agensi yang terdapat di UTC Perlis ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Imigresen.

"Uniknya, di sini (UTC) Perlis ialah perkhidmatan 1Serve iaitu JPJ, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Imigresen bergabung yang memudahkan urusan pelanggan dengan ketiga-tiga agensi itu.

"Selain itu, pusat ini mempunyai Klinik Kesihatan dan Pergigian UTC yang dilengkapi peralatan moden seperti hospital kerajaan," katanya pada Majlis Pra Pelancaran UTC Perlis di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azlan berkata, UTC Perlis turut dilengkapi gelanggang futsal, gimnasium, studio aerobik, bilik mesyuarat dan bilik seminar bagi kemudahan rakyat.

Kos pembinaan keseluruhan bangunan itu menelan belanja RM33 juta.

UTC Perlis mula beroperasi pada pukul 8.30 pagi hingga 10 malam termasuk Sabtu dan Ahad. - K! ONLINE