Shafie Apdal lanjut reman empat hari lagi

23/10/2017 6:50pm


Mohd. Shafie melambai ke arah penyokongnya ketika diiringi di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.


KOTA KINABALU - Mahkamah Majistret membenarkan permohonan lanjutan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di sini hari ini.

Majistret Cindy Mc Juse Balitus membenarkan tempoh tahanan reman dilanjutkan selama empat hari terhadap Mohd. Shafie Apdal, 60, bermula esok.

Mohd. Shafie direman bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membangunkan Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Bekas menteri KKLW dan bekas Naib Presiden UMNO itu ditahan pada 19 Oktober lalu bagi membantu siasatan agensi itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Faliq Basiruddin; Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abd. Hadi dan Rustam Anip.

Ahli Parlimen Semporna itu diwakili enam barisan peguam diketuai Martin Tommy. - K! ONLINE