Pemuda lemas ketika tarik perahu

23/10/2017 8:50pm


Mohd. Amirul Quodri (gambar kecil) disahkan meninggal dunia akibat lemas.


BESUT - Seorang pemuda mati lemas ketika cuba menarik perahu dinaikinya yang hanyut sehingga ke tengah sungai dalam satu kejadian di Sungai Darau, Pasir Akar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 tengah hari itu, Mohd. Amirul Quodri Mohd. Razali, 24, yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas dihanyutkan arus.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi, ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya sedang memunggah kayu-kayu yang diletakkan dalam perahu tersebut ke dalam sebuah lori.

“Kayu-kayu itu diambil oleh mereka daripada seberang sungai namun ketika melakukan kerja-kerja memunggah kayu, perahu tersebut telah hanyut ke tengah sungai sebelum mangsa bertindak untuk terjun.

“Selepas perahu itu hanyut, mangsa terus terjun ke dalam sungai untuk menarik semula perahu tersebut sebelum lemas. Dua rakannya yang turut berada di tempat kejadian gagal menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zamri berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat. - K! ONLINE