Api bakar sampah sambar rumah Gapena

23/10/2017 10:55pm


Api menyambar sebahagian atap dan beranda rumah Gapena petang tadi.


KUALA LUMPUR - Pembakaran sampah tidak terkawal punca bahagian hadapan rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) di Jalan Dewan Bahasa di sini terbakar pada petang tadi.

Difahamkan kebakaran itu berpunca daripada pembakaran sampah tidak terkawal yang dilakukan oleh pekerja pembersihan di kawasan tersebut yang menyambar sebahagian atap dan beranda rumah berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.36 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah di sini bersama sebuah jentera unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (ERMS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati api mula marak di beranda rumah berkenaan. Api berjaya dikawal kira-kira pukul 5.46 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana rumah tersebut tidak mempunyai penghuni. - K! ONLINE