Kereta bawa rokok dipercayai seludup terbakar

23/10/2017 11:35pm


Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran kereta yang dipercayai membawa rokok seludup.


SERDANG - Sebuah kenderaan yang membawa rokok dipercayai seludup terbakar dalam satu kejadian berhampiran Balai Polis Taman Sungai Besi Indah di sini, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 1 petang itu, kereta jenis Toyota Camry tersebut ditinggalkan di tepi jalan tanpa pemandu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.55 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian bersama sembilan anggota.

"Sebaik tiba ke lokasi kejadian, anggota kita mendapati kereta tersebut telah ditinggalkan di tepi jalan dan terbakar hampir 70 peratus.

"Pemandu kereta itu tidak ditemui dan dipercayai telah meninggalkan kenderaan tersebut sebaik menyedari berlakunya kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE