Durian sumber kekayaan baharu

Antara produk hiliran berasaskan durian yang telah menembusi pasaran antarabangsa.


DURIAN mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia. Ia meliputi semua aspek yang berkaitan dengan pemakanan dan pemprosesan dalam memenuhi kehendak pasaran.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga memainkan peranan yang efisien dalam menjadikan sub sektor tanaman durian sebagai antara bidang penting sektor agromakanan negara dan sebagai sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat besar kepada sosioekonomi petani dan pemegang amanah, bahkan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan 2017 serta Malaysia Food Festival 2017 merupakan contoh terbaik bagaimana bidang kulinari boleh memainkan peranan dalam peningkatan ekonomi melalui permintaan terhadap makanan sepanjang program berlangsung.

Antara faktor yang mempengaruhi kualiti dan potensi nilai tambah sesuatu hidangan atau produk ialah bahan mentah yang digunakan.

Durian merupakan antara bahan mentah yang kian popular digunakan dalam bidang kulinari.

Klon

Durian yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Durio zibethinus murr adalah tanaman buah-buahan yang semakin terserlah nilai-nilai komersialnya, baik bagi pasaran tempatan mahupun di luar negara.

Perkembangan ini disokong dengan kejayaan negara menembusi pasaran eksport. Pada masa sama munculnya teknologi-teknologi pemprosesan dan penyimpanan yang membolehkan produk daripada durian dapat dipelbagaikan serta jangka hayat yang lebih panjang.

Terdapat beberapa klon durian yang berjaya dikomersialkan. Antara varieti durian yang popular ialah durian D197 (Musang King), D24 yang mempunyai isi yang lemak, manis dan pejal, D99 (Durian Kop) serta D145 (Baserah).

Selain itu, durian kampung juga sesuai untuk dijadikan bahan kulinari. Kesesuaian penggunaannya sangat bergantung kepada ciri-ciri pulpa durian itu sendiri dan produk yang akan dihasilkan.

Hasil program-program pembangunan kulinari yang telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian, raja buah-buahan ini mempunyai potensi yang sangat luas dalam konteks penggunaannya.

Selain dimakan segar, durian juga sesuai dijadikan bahan utama pengeluaran produk tradisional hinggalah kepada produk-produk yang diproses menggunakan teknologi tinggi.

Antara produk kulinari yang dihasilkan bagi kategori sejuk beku ialah pulpa durian beku, aiskrim dan kuih muih, bakeri, biskut, roti, crepe, pai dan pastri.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan bahan utama untuk membuat snek, kuih-muih tradisional seperti dodol, wajik, kuih talam dan lempuk. Pada masa sama, ia dijadikan inti kuih koci, sos durian, tempoyak serta dimakan segar dengan pulut dan dijadikan bahan utama minuman cendol.

Disebabkan kulinari adalah bidang yang dihasilkan menggunakan teknologi dan seni, ia dapat berkembang dengan lebih luas sekiranya inovasi serta kreativiti digabungkan bersama.

Perkembangan teknologi agronomi, pemprosesan dan penciptaan produk-produk baharu kulinari akan membantu meningkatkan permintaan durian.

Digilai

Berdasarkan pemerhatian, pelbagai jenis makanan yang menggunakan durian sebagai salah satu daripada bahan mentah utamanya berjaya dipasarkan di tempat-tempat eksklusif seperti di hotel-hotel dan outlet berjenama antarabangsa.

Penjualan di tempat-tempat sebegini sudah tentu mampu menjana nilai tambah yang menggalakkan. Usaha ini juga berupaya membuka laluan bagi memperkenalkan produk-produk kulinari berasaskan durian ke peringkat global.

Perkembangan semasa juga memberi petunjuk bahawa penggunaan durian semakin meningkat dan dipelbagaikan.

Durian yang pada suatu masa dahulu hanya menawan selera penduduk tempatan, kini telah menjadi sesuatu yang turut ‘digilai’ di peringkat antarabangsa. Hala tuju dan masa hadapan bagi durian amat memberangsangkan.

Kita perlu mengambil peluang ini untuk turut sama menyumbang kepada perkembangan sub sektor tanaman durian di samping pengeluaran ekonomi sejajar dengan kedudukannya sebagai raja buah-buahan.