Pulih pelajar bermasalah di lokap

SEKOLAH Henry Gurney, Telok Mas, Melaka merupakan pusat pemulihan pesalah-pesalah juvana termasuk pelajar sekolah yang terlibat dengan jenayah.


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengumpulkan maklumat daripada Jabatan Penjara Malaysia berhubung kemungkinan melaksanakan program pemulihan pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius terus di penjara atau lokap.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu juga masih di peringkat pengumpulan maklumat daripada kesatuan guru dan ibu bapa.

Menurutnya, keba­nyakan pelajar yang mempunyai masalah disiplin itu terlibat de­ngan kegiatan gengste­risme, penyalahgunaan dadah dan bersangkut paut dengan jenayah.

“Beberapa jawatan­kuasa telah ditubuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara Malaysia bagi mengatasi masalah disiplin murid mengikut ke­sesuaian dari semasa ke semasa.

“Pihak KPM juga sedang mengumpulkan maklumat bersama Jabatan Penjara Malaysia bagi proses seterusnya.

“Program sedia ada dan sedang dilaksanakan (Jabatan Penjara Malaysia) ha­nya melibatkan pelajar yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah,” kata beliau pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang mahu kementerian menjelaskan cadangan menghantar pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius untuk menjalani program pemulihan terus di penjara atau lokap.

Ketika ini pesalah-pesalah juvana yang berumur 14 hingga 21 tahun dihantar ke empat buah Sekolah Henry Gurney yang merupakan institusi pemulihan yang di kelolakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Mahdzir berkata, pelbagai program turut dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.