Disangka anak patung rupanya bayi


Mayat bayi perempuan yang dijumpai pemandu lori Majlis Daerah Machang di tempat pembuangan sampah di Kampung Bukit Tajol, Machang semalam.


MACHANG – Seorang pemandu lori Majlis Daerah Machang yang sedang asyik mencari barang terpakai di sebalik timbunan sampah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan di tapak pembua­ngan sampah di Kampung Bukit Tajol, Banggol Judah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, pemandu lori berkenaan, Saiful Wan Mohamaad, 36, pada mulanya menyangka objek tersebut adalah anak patung yang dibuang di tempat longgokan sampah.

“Saya melihat beberapa kali untuk kepastian dan tidak percaya objek yang disangka anak patung itu sebenarnya bayi yang cukup sifat, namun tidak dibalut dengan sebarang kain.

“Saya terus memaklumkan pe­nemuan itu kepada beberapa rakan sekerja yang ada di tempat kejadian dan membuat laporan polis.

“Saya tidak menyangka akan melihat kejadian sebegini dan begitu terkilan dengan sikap manusia yang tergamak membuang bayi yang tidak bersalah dalam timbunan sampah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.